KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang bergerak ke arah teknologi realiti maya untuk mengembang- kan sektor pelancongan, sekali gus mempromosikan tempat menarik di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi berkenaan memberi gambaran sebenar tempat yang ingin dituju.
“Teknologi ini berfungsi seolah-olah kita sendiri yang berada di kawasan tersebut walaupun kita tidak berada di situ.
“Sekiranya hendak pergi ke Taman Negara Bako, dengan teknologi itu, ia mampu memberi gambaran keadaan dan suasana sebenar yang terdapat di Bako tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sambutan Hari Wanita 2020 Peringkat Negeri di BCCK di sini, semalam.
Menurutnya, bagi memantapkan sektor ekonomi khasnya di luar bandar, kerajaan telah memperkenalkan sistem Internet Bendaan (IoT) iaitu penanaman menggunakan sistem fertigasi.
“Kaedah pertanian sudah bertukar. Saya melihat wanita di Kuala Rajang mengeluarkan hasil tanaman rock melon menerusi fertigasi.
“Selain itu, mereka kurang upaya juga mampu menjana pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan menerusi teknologi seperti ini.
“Ini yang dinamakan teknologi, berfungsi memudahkan urusan sesiapa sahaja.
“Saya percaya ramai lagi usahawan mengeluarkan hasil tanaman menerusi fertigasi ini,” katanya sambil menambah, mereka juga boleh menjual hasil pertanian bagi menambah pendapatan mereka.
“Sehubungan itu, usaha itu untuk menaik taraf pendapatan wanita di negeri ini,” jelasnya.
“Banyak lagi usaha dapat diketengahkan melalui kaedah seperti ini iaitu mempromosikan hasil kreativiti wanita seperti tudung, fesyen dan sebagainya.
“Saya beritahu perkara ini berdasarkan apa-apa yang saya nampak dan maklum balas yang saya terima.
“Ini merupakan masa depan kita kerana banyak peluang yang digunakan dengan sebaik mungkin menerusi teknologi yang disediakan,”ujarnya.
Pada majlis sama, Abang Johari menyampaikan anugerah kepada Tokoh Wanita 2020.
Hadir sama, isteri Yang diPertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.