ARTIKEL

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di sini hari ini. Kredit: Pejabat TPM

Malaysia Teliti Model Kepolisan Moden China Bagi Cegah Jenayah – Ahmad Zahid

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Daripada Mohd Yusof Saari

BEIJING: Malaysia sedia mempertimbangkan penggunaan teknologi kepolisan moden berasaskan model China di kawasan berisiko tinggi dan lokasi tumpuan pelancong bagi memperkukuh pencegahan jenayah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendekatan itu yang menggabungkan teknologi pengawasan kamera liter tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan sistem pengecaman wajah, berpotensi membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek serta mempercepat tindakan penguatkuasaan tanpa bergantung sepenuhnya pada kehadiran fizikal anggota keselamatan.

Ahmad Zahid berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong hari ini, selain kerjasama membanteras jenayah rentas negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan non-omnipresenceyang diamalkan China membolehkan pemantauan kawasan berisiko dilakukan menerusi teknologi bagi membantu mengesan kegiatan jenayah

“Ini antara perkara berkepentingan bersama-sama yang saya bincangkan dengan Wang. Kita lihat bagaimana negara itu menggunakan kaedah modern policing sehingga pendekatan non-omnipresence membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan ‘hitam’ yang banyak berlaku jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia selepas pertemuan itu bersempena dengan lawatan kerja lima hari ke China yang bermula Isnin lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemasangan CCTV pada jarak kira-kira 50 meter di kawasan berisiko di China membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dan melakukan tangkapan dalam tempoh kurang empat minit selepas sesuatu jenayah berlaku.

Beliau berkata Malaysia pernah melaksanakan projek perintis kepolisan moden di Iskandar Puteri, Johor, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, manakala penggunaan sistem seumpama itu di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang, Kuala Lumpur membantu mengurangkan kejadian ragut beg.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kekangan peruntukan menjadi antara cabaran untuk memperluas penggunaan teknologi itu ke seluruh negara.

Beliau berkata pengalaman daripada lawatan itu akan dikongsikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi meneliti potensi penggunaan teknologi berkenaan, khususnya di kawasan yang mencatatkan kadar jenayah tinggi dan lokasi tumpuan pelancong.

“Mungkin suatu ketika nanti jika kita mempunyai pendapatan yang lebih banyak, model modern policing ini boleh juga kita laksanakan, mungkin tidak di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah tetapi digunakan hanya di kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi, selain lokasi tumpuan pelancong,” katanya.

— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU