1.6 juta hektar tanah berstatus NCR

KUCHING: Sarawak masih memiliki sekitar 1.6 juta hektar tanah berstatus NCR yang boleh dibangunkan sebagai ladang hutan untuk menanam pelbagai spesies pokok cepat tumbuh dan tahan rintangan penyakit.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datuk Hamden Mohammad berkata, bagi mencapai tujuan terbabit, pihaknya membangunkan tapak semaian untuk membekalkan benih-benih pokok yang berkualiti.

“Kami mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak bagi membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan program pemulihan hutan berjaya. “Malah, kami mewajibkan mereka untuk mendapatkan status persijilan pengurusan hutan bagi konsesi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Hamden berkata, sebanyak 10 kawasan lesen yang berkeluasan 955,676 hektar disijilkan setakat ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah kawasan ladang hutan yang terletak di Ulu Awik Saratok. Ladang hutan ini diusahakan bersama oleh Syarikat Salam Serimas Sdn Bhd dengan 40 orang penduduk setempat di kawasan Ulu Awik Saratok atas tanah NCR mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Salam Serimas Sdn Bhd Solomon Tan berkata, ladang hutan itu hanya terletak kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan kenderaan dari Pekan Saratok. “Daripada 390 hektar kawasan sedia ada, seluas 210 hektar ditanam dengan spesies pokok cepat tumbuh iaitu batai atau nama saintifiknya albizia falcatasppa spp.

“Kadar pertumbuhannya ialah 95 peratus dengan ukur lilit pokok yang mencapai 30 sentimeter bagi tempoh empat tahun penanaman dan sedia untuk dituai antara enam hingga tujuh tahun sahaja,” ujarnya.

Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan mendapat manfaat menerusi kemudahan asas yang disediakan seperti jalan ladang untuk membangunkan tanah-tanah NCR mereka.

Sebagai rekod, melalui konsep ini terdapat dua kawasan penanaman ladang hutan yang berjaya dan boleh dijadikan model.

Ia berorentasikan projek usaha sama iaitu di Kaki Wong Mapar Saratok yang dilaksanakan oleh Syarikat Kaki Wong Forests Plantation Sdn Bhd dengan 80 penduduk Rumah Josephine Entira yang berkeluasan 350 hektar