SARIKEI: Sebanyak sepuluh jambatan utama di Sarawak kini siap sepenuhnya, sekali gus menjadi pemangkin kepada kelancaran sistem perhubungan darat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Kerajaan Sarawak turut merangka pembinaan sekurang-kurangnya tiga lagi jambatan baharu sebagai langkah strategik memperkukuh jaringan pengangkutan, khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo berkata, antara projek yang dicadangkan termasuk Jambatan Batang Sadong 2, sebuah jambatan di Marina Miri serta satu lagi jambatan ikonik di Bandar Sibu.
“Projek-projek ini merupakan kesinambungan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan pembinaan Jambatan Batang Paloh, hari ini.
Beliau berkata, pembinaan jambatan baharu itu juga dijangka membuka akses ke kawasan yang sebelum ini sukar dihubungi, sekali gus merancakkan potensi pembangunan setempat.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, malah memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Sarawak kini mempunyai 18 jambatan utama yang berperanan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur negeri.
Daripada jumlah tersebut, sepuluh jambatan telah siap sepenuhnya termasuk Jambatan Jepak di Bintulu, Jambatan Batang Igan, Jambatan Muara Lassa serta Jambatan Batang Saribas.
Sementara itu, baki lapan lagi projek jambatan sedang dilaksanakan dan menunjukkan perkembangan positif mengikut jadual yang ditetapkan.
Kesemua projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program Jalan Pesisir dan Jalan Lingkaran Kedua yang menjadi pemacu utama kepada sistem perhubungan darat Sarawak, selain dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat melalui penjimatan masa perjalanan serta peningkatan aktiviti ekonomi tempatan.


