KUCHING: Sekitar 100 anjing komuniti dijangka menerima proses pemandulan dan vaksinasi menerusi inisiatif terbaharu Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) yang kini berada dalam fasa percubaan.
Presiden SSPCA, Datin Dona Drury-Wee berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada geran Yayasan Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Awam, perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS).
“Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan inisiatif ini sedang dalam penyediaan dan akan ditandatangani bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Vaksinasi Anti-Rabies, Pelesenan Anjing, Pemasangan Mikrocip dan Pemandulan Subsidi Anjing di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Menurutnya, projek rintis yang menyasarkan 100 anjing komuniti betina itu turut melibatkan penandaan telinga berwarna biru dengan label SSPCA sebagai bukti bahawa anjing-anjing tersebut telah divaksin dan dimandulkan.
“Penandaan telinga ini akan membantu pihak berkuasa tempatan seperti MBKS mengenal pasti anjing yang telah melalui proses pemandulan dan vaksinasi supaya tidak perlu ditangkap.
“Langkah ini juga memaklumkan kepada orang awam mengenai status anjing-anjing tersebut,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya telah menerima tanda berkenaan semalam dan telah memasangnya kepada seekor anjing komuniti sebagai penerima pertama bagi fasa percubaan itu.
“Langkah ini juga mengambil kira hakikat bahawa di sesetengah kawasan, penghapusan semua anjing tidak praktikal kerana anjing baharu akan terus masuk menggantikan ruang yang dikosongkan,” tambahnya.



