KUCHING: Kira-kira 1,000 Kilometer jalan balak dan berstruktur tanah perlu diberi perhatian di kawasan DUN Telang Usan, dedah ADUNnya, Datuk Dennis Ngau.
Justeru, beliau menggesa agar kepimpinan kerajaan melihat perkara itu pada kadar segera memandangkan laluan terbabit merupakan penghubung kepada penghuni kira-kira 88 rumah panjang di kawasan terbabit.
“Ada 88 rumah panjang bagi kaum Penan, Kayan, dan Kenyah yang disambung dengan jalan-jalan tanah, jalan balak, yang dahulu dibina sebagai projek ehsan kem balak.
“Namun sejak kem balak terhenti hampir tiga tahun lalu tiap-tiap saya menerima aduan kerosakan jalan.
“Kita membina lebih kurang 160km daripada 1,000km melalui program HDA selama lima tahun cuma masalah ialah apabila hujan jalan-jalan ini rosak dengan rakyat memerlukan kerajaan bertindak segera,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru Timbalan Setiausaha Kerajaan (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel mengadakan perjumpaan khas bersamanya mencari jalan penyelesaian terhadap isu jalan tanah itu.
Menurutnya, jalan tanah itu merupakan jalan utama yang digunakan oleh penghuni serta sektor penting termasuk pendidikan dan kesihatan.
“Itu jalah yang digunakan oleh guru-guru untuk pergi mengajar, jalan ke klinik, menghantar orang sakit.
“Saya merayu untuk melihat perkara ini secara mendalam disebabkan jalan-jalan yang sangat teruk,” katanya.
Pada masa sama, beliau percaya usaha itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan namun sekurang-kurangnya mendapat perhatian dan perancangan dalam memperhalusi permasalahan yang kian membebankan.


