Fasa kelima Operasi Anti Rabies bermula 31 Julai ini

KUCHING: Fasa ke-lima Operasi Anti Rabies oleh kerajaan negeri Sarawak akan diadakan di Spaoh, Sri Aman dan Engkilili dari 31 Julai sehingga 3 Ogos, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata di bawah fasa itu Jabatan Perkhidmatan Verterinar negeri akan melawat rumah-rumah panjang dan menawarkan suntikan vaksinasi serta menangani isu anjing-anjing liar yang dikesan di tiga daerah berkenaan.

“Sila gunakan peluang ini untuk memberikan suntikan vaksin kepada anjing anda,” kata Uggah yang juga adalah pengerusi jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai seharusnya menerima nasihat ini dengan serius memandangkan sekitar dua minggu lepas dua anjing dikesan positif rabies di sebuah rumah panjang, Rh Samueh Adeng, di Engkilili.

Rabies adalah penyakit yang amat berbahaya dan sejak dikesan di Sarawak para 2017, ia telah mengorbankan 18 nyawa sehingga kini, tambahnya. – Bernama

Suara Sarawak