KUCHING: Sarawak terus memperluas pengiktirafan kemahiran yang diperoleh di luar sistem pendidikan formal apabila seramai 105 peserta berjaya menerima Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal (IFE) Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen Sarawak dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, produktif, inklusif dan berdaya saing untuk masa hadapan.
“Kita mengiktiraf pembelajaran melangkaui bilik darjah. Ramai dalam kalangan rakyat kita memperoleh kemahiran bernilai melalui pengalaman bekerja selama bertahun-tahun, keusahawanan, pelibatan dalam komuniti dan pengalaman hidup.

“Kemahiran ini merupakan aset kepada komuniti kita dan menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan Sarawak yang berterusan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan IFE Sarawak – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di Bangunan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Jalan Isthmus, di sini, hari ini.
Tambahnya, melalui inisiatif berkenaan, Sarawak menyediakan satu saluran untuk kemahiran dan pengalaman tersebut mendapat pengiktirafan.
Menurutnya, perkara berkenaan diharap dapat memberi inspirasi kepada individu untuk terus belajar, memperkukuh keupayaan serta membuka peluang yang lebih luas bagi perkembangan peribadi dan profesional.
Dalam pada itu, Sagah turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) atas sumbangan, sokongan teknikal dan komitmennya dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

