106 anak Sarawak dikuarantin

KUCHING: Seramai 106 rakyat Sarawak (kumpulan ketiga) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 3.50 petang semalam menggunakan pesawat Malaysia Airlines Berhad MH2536 dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Tinjauan Suara Sarawak di LTAK mendapati, lapan bas disediakan bagi membawa semua penumpang bagi menjalani kuarantin di Hotel Kuching Park dan Hotel Hock Lee di sini.

Leftenan Angkatan Pertahanan Awam Mohd Zaidi Jili ketika ditemui berkata, tiga proses menghantar penumpang dari LTAK ke hotel untuk kuarantin berjalan lancar.

“Kami telah menguruskan tiga perjalanan penumpang dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Tiga penerbangan ini bermula pada 5 dan 6 April lalu dan hari ini (semalam) “

Manakala dua lagi proses perjalanan rakyat Sarawak pulang ke negeri ini ialah pada 12 dan 13 April akan datang menggunakan penerbangan yang sama dan waktu yang sama,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kesemua rakyat Sarawak dari luar negara mahupun dalam negara, yang menaiki penerbangan berkenaan akan ditempatkan di pusat kuarantin iaitu di beberapa hotel di bandar raya Kuching.

“Perjalanan penghantaran ini berlaku dengan teratur hasil bantuan ramai pihak antaranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen, polis dan semua agensi terlibat.

“Ini termasuk Bomba dan Penyelamat yang melakukan sanitasi ke atas semua bas yang digunakan untuk membawa penumpang ini, untuk keselamatan dan kebersihan,” ujarnya.

Tambahnya, semua penumpang akan melalui proses saringan oleh KMM melalui pengimbas termal di bangunan terminal termasuk saringan suhu badan dan perlu mengisi borang deklarasi perjalanan.

“Bagi individu yang pulang dari luar negara, mereka perlu mengisi borang deklarasi dan harus menggunakan pelekat yang disediakan bagi membuktikan mereka sebelum ini pernah berada di luar negara,” katanya.

Jelasnya, semua penumpang akan dikuarantin selama 14 hari di hotel berkenaan, dan lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan.

“Ahli keluarga boleh menghantar makanan di lobi hotel. Pihak APM dan petugas polis serta Rela akan membantu menghantar makanan kepada setiap individu di hotel berkenaan,” katanya.

Suara Sarawak