ARTIKEL

Len Talif ketika menjawab soalan ADUN Katibas, Lidam Assan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.

JTS, UNIFOR Bekerjasama Perkemas Prosedur Pendaftaran Tanah Sumbangan kepada Badan Agama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak sedang bekerjasama dengan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk mewujudkan prosedur seragam dan fleksibel bagi memudahkan pendaftaran tanah yang disumbangkan kepada pelbagai badan agama di negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, prosedur itu merangkumi proses menentukan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebelum sesuatu pemberian tanah boleh didaftarkan.

Menurutnya, usaha berkenaan susulan pengenalan Seksyen 171A menerusi Ordinan Kanun Tanah (Pindaan) 2025 yang menyediakan peruntukan khusus bagi pendaftaran wakaf atau pemberian tanah kepada badan agama.

“JTS kini bekerjasama rapat dengan UNIFOR untuk membangunkan prosedur menyeluruh dan fleksibel bagi memudahkan pendaftaran pemberian tanah melibatkan pelbagai badan agama di Sarawak.

“Ini termasuk penentuan pemilikan tanah NCR sebelum pendaftaran pemberian berkenaan dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Katibas, Lidam Assan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Lidam meminta penjelasan berkaitan status permohonan dan pendaftaran di bawah Seksyen 171A Kanun Tanah Sarawak, termasuk usaha menyelaraskan keperluan pelbagai gereja dalam pendaftaran tanah yang disumbangkan, khususnya tanah NCR yang belum mempunyai hak milik.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi tanah NCR yang belum mempunyai dokumen hak milik, pemilikan perlu terlebih dahulu ditentukan dan didaftarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Dokumen hak milik mesti didaftarkan terlebih dahulu sebelum pendaftaran pemberian tanah boleh berkuat kuasa.

“Langkah ini penting untuk memastikan kepastian pemilikan tanah yang hendak diberikan kepada badan agama berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, Seksyen 171A diwujudkan bagi menyediakan satu mekanisme perundangan yang jelas dan tersusun untuk memudahkan pendaftaran pemberian tanah kepada badan agama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU