KUCHING: 11 orang penerima Tauliah Wali Hakim ditauliahkan bakal memegang amanah yang menghubungkan nasab, kehormatan dan kelestarian keluarga Muslim.
Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi berkata, pentauliahan itu amanah yang bukan hanya ditagih kewajipan undang-undang.
“Ia turut menuntut keikhlasan jiwa, ketinggian takwa dan kebijaksanaan dalam menilai maslahat umat.
“Perwalian dalam konteks perkahwinan bukan sekadar rukun yang melengkapkan akad; ia merupakan satu kewajiban bagi menjaga maruah dan keselamatan perempuan, ketertiban dan kesahihan akad, hak-hak keluarga, serta keutuhan struktur sosial.
“Perkahwinan seorang perempuan hendaklah diakadkan oleh walinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelantikan Istikhlaf Wali Hakim Sarawak Tahun 2025 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Yang di-Pertua Negeri (TYT) boleh melantik dan mentauliah Ketua Hakim Syarie, menjadi wali hakim bagi perempuan yang tidak mempunyai wali dalam mana-mana keadaan wali berpindah kepada wali hakim mengikut Undang-Undang Islam.
Selain itu, TYT juga boleh memberi kuasa istikhlaf kepada Ketua Hakim Syarie untuk melantik mana-mana orang yang difikirkannya layak untuk mengakadnikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali.
“Peruntukan ini memberikan kedudukan undang-undang yang jelas bahawa Mahkamah Syariah adalah pihak yang berautoriti penuh untuk melantik dan memberi tauliah istikhlaf bagi mengangkat seseorang menjadi wali hakim,” katanya lagi.
Tegasnya, kegagalan memastikan perwalian yang sah boleh mengakibatkan akad tidak sah, keruntuhan struktur keluarga, pertikaian nasab serta mudarat kepada wanita dan zuriat.
“Oleh sebab itu, wali hakim bukan satu pilihan bebas, tetapi satu keperluan syarie apabila berlaku kes-kes khusus yang mewajarkan pemindahan kuasa daripada wali nasab kepada hakim,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar setiap pasangan yang ingin berkahwin menghormati, merujuk dan mendahulukan wali akrab dalam semua urusan perkahwinan.
Ujarnya, ia adalah penting untuk memelihara adab kekeluargaan, menyuburkan kasih sayang, dan mengelakkan perselisihan yang boleh mencetuskan fitnah serta perbalahan dalam institusi keluarga.




