BINTULU: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Sophie Shariee menyeru kehadiran penyokong ke Padang Sintetik BDA untuk memberi sokongan kepada pemain bagi aksi suku akhir kedua Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) menentang ATM Sabtu ini (17 Oktober).
Menurut Sophie, kehadiran penyokong amat ditagih sebagai cetusan semangat kepada para pemain.
Ia juga menghadir tekanan terhadap pasukan lawan sepanjang saingan.
“Kita menyeru penyokong setia pasukan Bintulu hadir beramai-ramai ke Padang Sintetik BDA Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pemain.
“Saya percaya pemain pasti akan lebih bersemangat apabila individu ke-12 di belakang mereka selama ini turut hadir untuk perlawanan timbal balik itu kelak,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Sophie akui pasukan pelawat (ATM) juga akan turut serta memberi sokongan kepada pemain mereka.
Bintulu kini mempunyai kelebihan satu gol hasil kemenangan (1-0) ke atas ATM pada aksi suku akhir pertama di Padang Perumahan, Jalan Astana Sabtu lepas.
Justeru tambah Sophie, pihaknya tidak rela kelebihan dimiliki terlepas begitu sahaja.
Dengan kata lain, mereka harus berusaha mempertahankan kelebihan yang dimiliki itu hingga berakhir tempoh 90 minit kedua Sabtu ini.

