ARTIKEL

SIMBOLIK…Simbolik serah terima tugas Ketua Polis Daerah Julau daripada Inspektor Marson Lawai (kiri) kepada DSP Rowney Michael Jalak (kanan).

DSP Rowney Michael Jalak Dilantik Ketua Polis Daerah Julau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Berbekalkan pengalaman lebih lima tahun menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Rowney Michael Jalak kini menggalas amanah baharu sebagai Ketua Polis Daerah Julau.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Inspektor Marson Lawai yang memangku tugas berkenaan sejak 28 April lalu sekali gus menandakan peralihan kepimpinan IPD Julau.

Majlis serah terima tugas berlangsung di pekarangan IPD Julau pada Selasa, disaksikan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak menerusi acara menandatangani dokumen rasmi serta penyerahan tugas secara simbolik.

Berucap pada majlis itu, Saifullizan berkata serah terima tugas bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya mencerminkan kesinambungan kepimpinan, penyerahan amanah serta komitmen berterusan pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Jawatan Ketua Polis Daerah menuntut keupayaan menerajui pentadbiran, menyelaras operasi kepolisan, membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin pengalaman, kompetensi dan kredibiliti Rowney dalam pelbagai cabang kepolisan mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kesiapsiagaan IPD Julau dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Dalam pada itu, Saifullizan turut merakamkan penghargaan kepada Marson atas dedikasi dan komitmen sepanjang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Julau sejak 28 April lalu.

Majlis sama turut menyaksikan penyerahan tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Julau daripada Sarjan Hairane Supaat kepada Rosaline Radin yang sebelum ini merupakan Naib Pengerusi PERKEP IPD Sarikei.

Penyerahan tugas berkenaan disaksikan Pemangku Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Faisha Ishak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai