ARTIKEL

Annuar ketika menjawab soalan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. 

DUN Sarawak: Kadar pengangguran graduan Sarawak menurun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kadar pengangguran graduan di Sarawak menurun sebanyak 27.3 peratus dalam tempoh lima tahun kepada 3.2 peratus pada 2024, meskipun jumlah graduan yang dihasilkan universiti meningkat 20.7 peratus dalam tempoh sama.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata, perkembangan itu membuktikan usaha kerajaan negeri menangani pengangguran dalam kalangan graduan.

Menurutnya, kadar pengangguran graduan kekal pada 4.4 peratus pada 2020 dan 2021 sebelum menurun kepada 4.0 peratus, kemudian 3.5 peratus dan seterusnya 3.2 peratus pada 2024.

“Kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kesiapsiagaan graduan memasuki alam pekerjaan, termasuk program latihan peningkatan kemahiran dan persediaan kerjaya.

“Program ini akan menerima peruntukan RM20 juta pada tahun hadapan bagi memberi manfaat kepada 1,000 graduan, khususnya untuk memenuhi keperluan sektor-sektor penting seperti tenaga yang boleh diperbaharui, tenaga hidrogen dan tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. 

Mengulas faktor pengangguran graduan, Annuar berkata antara puncanya ialah ketidakpadanan antara jangkaan graduan dengan peluang pekerjaan yang tersedia serta kelayakan akademik dengan keperluan industri.

“Selain itu, kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pengalaman kerja sebenar dan pendedahan kepada industri turut menyumbang kepada masalah berkenaan.

“Pada masa sama, kekurangan pengalaman mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran secara praktikal serta kelemahan kemahiran komunikasi juga boleh menjejaskan peluang graduan mendapatkan pekerjaan.

“Bagaimanapun, faktor yang perlu diberi perhatian ialah kecenderungan graduan mengikuti kursus pengajian yang kurang mendapat permintaan dalam pasaran pekerjaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dirangka dengan mengambil kira keperluan tenaga kerja negeri bagi mengelakkan lambakan graduan dalam bidang tertentu.

Jelasnya, 64 kursus ditawarkan di bawah skim berkenaan adalah berdasarkan penelitian keperluan pasaran pekerjaan, berbanding menawarkan semua bidang pengajian tanpa mengambil kira permintaan industri.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kadar kebolehpasaran graduan di empat Universiti Kerajaan Sarawak – Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 98.9 peratus.

“Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pula mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 92.1 peratus, diikuti Universiti Curtin Malaysia di Miri sebanyak 85.4 peratus dan i-CATS University College sebanyak 83.4 peratus,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU