SERIAN: Tawaran keuntungan lumayan menerusi iklan pelaburan di Facebook akhirnya memakan diri apabila seorang lelaki di sini kerugian RM28,750 selepas dipercayai diperdaya sindiket penipuan pelaburan.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan yang menggunakan nama sebuah syarikat sebelum meneruskan urusan melalui aplikasi Telegram.
Menurutnya, mangsa yang dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat kemudian membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza.
“Bagaimanapun, selepas wang dipindahkan, mangsa bukan sahaja gagal memperoleh keuntungan yang dijanjikan, malah diminta menjelaskan bayaran tambahan sebanyak RM58,412.
“Bayaran tambahan itu diminta atas alasan berlaku kesilapan ketika mangsa mengakses pautan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mula mengesyaki terdapat unsur penipuan kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala siasatan diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta meneliti aliran transaksi kewangan.
Sehubungan itu, Freddy menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat serta memastikan kesahihan sesuatu pelaburan disemak melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang pembayaran.

