SARIKEI: Seramai 11,000 pelajar menerima manfaat daripada Program Pembangunan Sahsiah Pelajar yang dilaksanakan sejak 2019, hasil inisiatif Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Huang Tiong Sii.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repok berkata, program bertujuan membantu meringankan beban keluarga pelajar dalam menyediakan keperluan persekolahan itu mula diperluas ke kawasan sekitar termasuk Meradong bermula 2023.
Melalui program berkenaan katanya, para pelajar menerima pelbagai bantuan keperluan sekolah seperti pakaian seragam, beg dan kasut, sekali gus memberi impak positif semangat dan keyakinan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa.
“Saya berharap sumbangan ini menjadi dorongan buat para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas pencapaian memberangsangkan pelajar SMK St Anthony dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.


