113 pegawai cemerlang

KUCHING: Seramai 113 pegawai bomba dari seluruh negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 untuk siri satu di Kuching (63 pegawai) semalam dan siri dua Miri (51 penerima) bulan hadapan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, daripada jumlah itu, 105 pegawai adalah lelaki, dan selebihnya (lapan) pegawai wanita.

Menurutnya, majlis penganugerahan semalam dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ekoran pandemik Covid-19.

“Bagi mematuhi SOP, dua sesi dirancang bagi mengekalkan penjarakan sosial dengan minimum tetamu dibenarkan untuk satu-satu masa.

“Majlis tahun ini berbeza berbanding sebelum ini kerana kita sedang diuji dengan penularan wabak Covid-19.

Sebab itu, majlis ini tertangguh selama enam bulan,” katanya berucap pada majlis tersebut di sini, semalam.

Khirudin berkata, APC adalah sebahagian pengiktirafan serta apresiasi jabatan atas kesungguhan dan dedikasi pegawainya.

“Jadikan budaya kerja cemerlang ini sebagai amalan berterusan dan bukan hanya matlamat untuk mendapatkan anugerah semata-mata.

“Ingat ikrar dan janji kita bahawa jasa yang ditabur sebagai sebahagian daripada ibadah dan amalan yang dirahmati, yang sinonim dengan profesion kebombaan dan penyelamatan yang berpaksikan keberanian, keikhlasan dan kemuliaan,” ujarnya lagi.

Beliau berharap semua anggota terus menjadi ejen perubahan, teguh mendukung dasar kerajaan serta gagah memperkasa penyampaian perkhidmatan kebombaan dalam menjaga keselamatan dan kemakmuran negara.

Timbalan Pengarah JBPN Negeri Sarawak Jainal @ Zainal Madasin; Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Tiong Ling Hii dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak Kurung Suwen antara yang hadir.