ARTIKEL

Japri Bujang Masli berucap pada Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa Siri 1 2025 Pustaka Negeri Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Kuching, hari ini.

12 graduan berusia 60 hingga 81 tahun berjaya tamat Program Literasi Orang Dewasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 12 graduan berusia antara 60 hingga 81 tahun dari Kampung Haji Baki di sini berjaya menamatkan Program Literasi Orang Dewasa yang berlangsung sejak September tahun lalu hingga Februari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, kejayaan mereka membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu.

Japri Bujang Masli (dua kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (tengah), merakam kenangan bersama pegawai lain selepas menandatangi MOU bagi PROSPER.

Katanya, program ini merupakan salah satu inisiatif utama mereka dalam mendukung usaha membasmi buta huruf serta memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Ia juga bagi memastikan agar orang dewasa boleh menyumbang dan mengambil bahagian dalam komuniti, dan untuk memastikan mereka berasa lebih yakin dan dihormati masyarakat.

“Justeru, saya amat berbangga dengan semangat dan dedikasi mereka dalam usaha meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Japri berkata demikian pada Majlis Graduasi Program Literasi Orang Dewasa Siri 1 2025 Pustaka Negeri Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Ujarnya, Pustaka Negeri Sarawak sentiasa komited dalam menyediakan akses kepada ilmu pengetahuan dan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua lapisan masyarakat.

“Program ini bukan sekadar memberi kemahiran asas tetapi juga membuka peluang untuk peserta meningkatkan taraf hidup mereka, termasuk dalam bidang keusahawanan kecil melalui program literasi praktikal seperti membaca resipi dan mengurus asas kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Japri, objektif program ini adalah untuk mengajar literasi membaca dalam kalangan komuniti yang memerlukan.

“Bagi pelaksanaan program pula, Pustaka Negeri Sarawak akan bekerjasama dengan Perpustakaan Awam, Perpustakaan Desa, Pusat Komuniti Digital serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk pelaksanaan program secara menyeluruh di Sarawak.

“Sebagai usaha meningkatkan tahap literasi dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat, pasukan Program Literasi Golongan Dewasa Pustaka Negeri Sarawak telah membangunkan modul khusus untuk memberi pembelajaran 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) serta membantu meningkatkan taraf hidup golongan dewasa yang memerlukan,” jelasnya.

Pada masa sama, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Projek ‘Platform For Resources Optimisation And Sharing To Promote Empowerment And Resilience’ (PROSPER) antara Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dengan Pustaka turut diadakan.

Sementara itu, Japri mengatakan bahawa projek PROSPER bertujuan untuk menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di bawah kemakmuran ekonomi.

“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, golongan profesional dan penyelidik, tetapi juga pengguna awam yang ingin menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

“Justeru, portal ini menekankan konsep dan strategi untuk mencapai perpustakaan digital di setiap rumah.

“Saya yakin bahawa dengan adanya projek ini, Pustaka Negeri Sarawak akan terus menjadi peneraju dalam membangunkan ekosistem literasi digital dan pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif dan mampan di negeri ini,” ujarnya.

PROSPER boleh diakses di pautan https://prosper.pustaka-sarawak.com/.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU