KUALA LUMPUR: Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-2027 yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
Baki satu lagi slot akan ditentukan pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas First Instance Body (FIB) bersidang bagi memutuskan status PDRM FC. Kelab itu diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi kriteria kewangan dan kriteria infrastruktur.
Keputusan FIB terhadap PDRM FC turut dipertimbangkan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan menilai tahap kesediaan serta kemampuan kelab itu mengurus operasi sepanjang musim 2026-2027.
Sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat tersebut, slot terakhir Liga Super 2026-2027 akan diberikan kepada Kelantan Red Warrior FC dari Liga A1 Semi-Pro.
Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan di tangga keempat Liga A1 musim lalu telah melengkapkan semua dokumen berkaitan kriteria kewangan dan dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (tempat keenam Liga A1) serta Bunga Raya FC (tempat ke-12 Liga A1), yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
Bagaimanapun, Armed Forces FC, yang turut beraksi dalam Liga A1, tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai Liga Super 2026-2027.
Menurut MFL, penyertaan 12 kelab musim ini dijangka memberi impak positif kepada ekosistem liga kerana hanya kelab yang memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur dibenarkan bertanding. Langkah itu juga diyakini mampu meningkatkan daya saing dan kualiti pertandingan.
Selain mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak stabil dari segi kewangan, langkah itu selaras dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang menekankan pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji secara konsisten dan kelangsungan operasi kelab. Pada masa sama, pengurangan jumlah pasukan dijangka mengurangkan kos operasi serta membolehkan jadual pertandingan disusun dengan lebih teratur.
Bagi musim 2026-2027, tirai Liga Malaysia akan dibuka dengan Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara Liga Super, JDT, dan naib juara, Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos 2026. Perlawanan itu juga dikira sebagai aksi pertama Liga Super yang dijadual berakhir pada 23 Mei 2027.
Saingan Piala FA pula akan berlangsung dari 1 hingga 2 September 2026 dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 16 Januari 2027. Piala Malaysia akan bermula pada 22 hingga 24 Januari 2027, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 30 Mei 2027.
Sementara itu, MFL Challenge Cup akan bermula pada 10 hingga 11 Februari 2027 dengan aksi final dua pusingan dijadual berlangsung pada 11 dan 18 April 2027.
MFL memaklumkan sebarang perubahan atau pindaan terhadap kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia musim 2026-2027 adalah tertakluk kepada keputusan badan pengelola itu.
TAMAT

