ARTIKEL

Anggota PDRM memeriksa motorsikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan

12 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebanyak 12 buah motosikal disita manakala seorang penunggang lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang berlangsung dari jam 11.00 malam, 18 April hingga 5.00 pagi, 19 April melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama anggota Balai Pusat Miri.

Jelasnya lagi dalam kenyataan, operasi tersebut tertumpu di beberapa lokasi utama termasuk Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tanjong Lobang, Jalan Tudan, Jalan Miri Bypass serta kawasan Marina.

“Sepanjang operasi, seramai 61 individu tempatan bersama 25 buah motosikal telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 70 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan antara kesalahan yang dikesan termasuk lesen kenderaan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan plat nombor ‘fancy’, tidak memiliki lesen memandu, ubah suai ekzos serta ketiadaan cermin sisi.

Dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 22 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang.

Selain itu, sebanyak 12 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 60 akta sama bagi tindakan lanjut.

Mohd Farhan menegaskan, pihak polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membanteras aktiviti samseng jalanan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, serta mengelakkan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU