ARTIKEL

Mancha (tengah) bercakap pada sidang media selepas mesyuarat persiapan menghadapi Op Banjir - MTL 2023/2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini. Hadir sama Ibrahim (kiri) dan Nixon (kanan)

1,262 pegawai, anggota polis Sarawak sedia digerakkan hadapi banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 1,262 orang terdiri daripada 187 pegawai kanan dan 1,075 anggota polis kontinjen Sarawak bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac tahun depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata pelbagai aset turut sedia digerakkan pada bila-bila masa diperlukan.

“Sejumlah 1,335 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada 348 buah aset darat, 832 buah aset laut/ sungai, 11 unit aset udara dan 144 aset sokongan (khemah, genset) siap sedia diatur gerak sepanjang tempoh MTL ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat persiapan menghadapi Op Banjir – MTL 2023/2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Sarawak, Superintendan Nixon Joshua Ali.

Beliau menambah, penugasan juga melibatkan agensi-agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta lain-lain agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Menjelas lanjut mengenai tanggungjawab PDRM, Mancha berkata pihaknya bertindak sebagai komander operasi dan dibantu bomba sebagai timbalan komander bencana.

“PDRM akan berperanan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.

“Justeru, penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir dinasihatkan supaya bersiap sedia menyimpan dokumen-dokumen penting serta barangan keperluan, dan sentiasa peka dengan amaran awal banjir untuk berpindah dengan kadar segera ke Pusat Pemindahan Sementara sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU