ARTIKEL

Datuk Seri Lee Kim Shin memasang dapur gas berpaip di rumah Catherine.

13 rumah di Taman Cahaya Lorong 4 Miri nikmati bekalan gas asli berpaip

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebanyak 13 rumah di Taman Cahaya Lorong 4 di sini menikmati kemudahan bekalan gas asli berpaip bagi sesi pemasangan fasa pertama projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kerja-kerja pemasangan gas ini telah dilakukan sebelum perayaan Tahun Baharu Cina lagi.

“Kita mempunyai lima fasa keseluruhan pemasangan gas, yang melibatkan seramai 2,000 pemilik rumah di Taman Ceria.

“Sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, saya telah meminta pihak syarikat tenaga milik kerajaan, PETROS, memastikan pemasangan gas disiapkan segera agar penduduk dapat meraikan Tahun Baharu Cina dengan gas asli buat pertama kalinya,” katanya.

Liew Tho Ping, 73 (kanan), dan suaminya, Kong Chong Kiaw, 74 (kiri), merakam gambar kenangan bersama Datuk Seri Lee Kim Shin di kediaman mereka di Taman Ceria, Miri.

Beliau berkata demikian selepas memantau kerja-kerja pemasangan gas yang telah siap di Taman Ceria Lorong 4, pagi tadi.

Menurut Kim Shin, meskipun sambungan gas telah siap dilakukan di sini, namun terdapat beberapa isi rumah yang masih menunggu dapur mereka untuk dipasang.

Untuk itu, beliau menggesa PETROS mempercepatkan proses tersebut bagi memastikan penduduk dapat menggunakan sepenuhnya bekalan gas baharu mereka.

Sementara itu, menurut Koo Chiew Joon, 62, yang merupakan penerima kemudahan ini, keluarganya bersyukur dengan pemasangan gas baharu di rumah mereka kerana mengurangkan beban yang ditanggung selama ini.

Katanya, dia gembira kerana tidak perlu lagi menggantikan tong gas setiap bulan seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Kemudahan ini lebih jimat berbanding penggunaan tong gas (hijau) dulu yang memerlukan saya untuk membayar dengan harga RM26.30 setiap kali ia diganti,” katanya.

Perkara itu turut dikongsikan oleh dua penerima lain, Catherine Dabu, 47, dan Liew Tho Ping, 73, terutamanya kelebihan gas asli yang amat memudahkan pengguna.

“Saya amat bertuah kerana turut berpeluang menerima akses kemudahan moden ini.

“Selepas ini saya tidak perlu bersusah-payah lagi mengangkat tong yang berat untuk diisi semula,” kata Catherine.

Dalam pada itu, Tho Phing pula menyifatkan pemberian ini sebagai hadiah yang amat bermakna kerana impian untuk memiliki gas berpaip telah tercapai.

“Saya memang teringin memasang gas berpaip, tetapi ia terlalu mahal.

“Sekarang ia sudah tersedia (percuma oleh kerajaan) saya sangat gembira,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU