KUCHING: Yang Dipertua Dewan Negara, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mendahului penerima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Astana Negeri, hari ini.
Kedua-duanya dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) yang membawa gelaran Dato Sri.
Turut menerima darjah sama ialah Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Abdul Wahab Aziz dan usahawan Datuk Tay Ah Ching @ Tay Chin Kin.
Istiadat penganugerahan yang disempurnakan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu membabitkan 35 penerima darjah kebesaran utama daripada keseluruhan 1,350 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri bagi 2026.

Bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K.) yang membawa gelaran Datuk, antara penerima ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Dean Wayne Daly; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang; serta Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew.
Sementara itu, enam penerima dikurniakan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S.) yang membawa gelaran Datu.
Mereka ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dzulkornain Masron; Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat; Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED), Ir. Dr Angelia Liew San Chuin; Pengarah Urusan Pusat Sains Sarawak, Ts. Dr Peter Morin anak Michael Paong; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Haji Mual Suaud.
Bagi Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.) yang membawa gelaran Dato, seramai 22 penerima disenaraikan. Mereka termasuk Senator Rita Sarimah Patrick Insol, Senator Susan Chemerai Anding dan ADUN Krian, Friday Belik.
Turut menerima P.S.B.S. ialah pemaju Sim Yaw Hang; peguam kanan John Ko Wai Seng; Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah; Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Ahmad Hata Rasit; serta Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Ir. Profesor Lau Hieng Ho.
Antara penerima lain ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli; Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sovereign Wealth Future Fund, Abang Rahmat Shobra Yusuf; Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil; serta Pesuruhjaya Polis berpangkat CP, Dato Mohamad Zainal Haji Abdullah, yang kini Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.
P.S.B.S. turut dikurniakan kepada Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sarawak, Dato Abang Ehsan Abang Abu Bakar; Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato Mohd Sobirin Mohd Yusof; Naib Presiden Eksekutif Penyampaian Projek Sarawak Energy, Dato Lau Kim Swee; Timbalan Pengerusi Amanah Khairat Darul Hana, Datin Azerina Mohd Arip; serta ahli perniagaan Dato Kong Chiong Ung, yang juga Presiden Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS).
Tiga pemimpin masyarakat yang menerima P.S.B.S. ialah Temenggong Dato Chek Bujang bagi masyarakat Melayu Samarahan, Temenggong Dato Abdullah Jamil bagi masyarakat Melayu Kuching dan Temenggong Dato Henry Bujang Sendan bagi masyarakat Bidayuh Serian. Bekas pemimpin masyarakat Dato Abang Bohari @ Abang Buahari Abang Zen turut menerima darjah berkenaan.
Pada istiadat itu, P.S.B.S. turut dikurniakan secara anumerta kepada mendiang Dato Sibat Buyong. Anugerah berkenaan diterima bagi pihak mendiang oleh Ruth Sibat @ Nur Mithali Abdullah.
Istiadat itu turut disaksikan isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anakanda Puan Dayang Norjihan; Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan menteri kabinet negeri dan tetamu kenamaan lain.


