SELANGAU: Seramai 136 mangsa banjir daripada 36 Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Arip, Selangau, setakat jam 4 petang tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau Lt. (PA) Luke Douglas Dongum, PPS berkenaan dibuka pada jam 12 tengah hari tadi susulan paras air meningkat di beberapa kawasan terjejas.

“Rumah panjang yang terlibat termasuk Rumah Jambai, Rumah David dan Rumah Janting,” katanya dalam kenyataan.
Luke menambah, butiran mangsa menunjukkan 62 lelaki dan 74 perempuan telah mendaftar di PPS, termasuk kanak-kanak, bayi dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, pecahan mengikut kategori adalah 29 lelaki dewasa, 32 perempuan dewasa, 14 kanak-kanak lelaki, 26 kanak-kanak perempuan, tiga bayi lelaki, serta empat OKU (dua lelaki dan dua perempuan).

“Selain itu, golongan warga emas turut ditempatkan dengan jumlah 28 orang.
“Pelbagai agensi turut terlibat bagi memastikan kelancaran operasi di PPS, antaranya APM Selangau dengan 17 anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sembilan anggota dan tiga pegawai, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 11 anggota dan seorang pegawai, selain kehadiran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat daerah.
“Pada jam 3.30 petang, seramai 15 KIR (39 orang) dari Rumah David, empat KIR (14 orang) dari Rumah Janting dan dua KIR (empat orang) lain telah mendaftar masuk ke PPS. Proses pemindahan masih dijalankan dan dikawal rapi oleh agensi bertugas di lokasi.
“Keadaan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Arip dilaporkan baik dan terkawal, dengan pengurusan kemudahan serta kebajikan mangsa berjalan lancar,” katanya.
Katanya lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan termasuk mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa sentiasa terjamin.



