14,636 permit dikeluarkan

SIBU: Sebanyak 14,636 permit perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaan dikeluarkan sehingga 31 Januari lalu. Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, permit itu adalah untuk sektor yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, sebanyak 384 permohonan telah ditolak dengan pelbagai alasan dalam tempoh yang sama. “Jumlah permit yang dikeluarkan semalam (Ahad) sehingga jam 4 petang ialah 296 sementara sembilan permohonan ditolak,” katanya ditemui di sini pada Selasa.

Terdahulu, Stanley menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (KBSJND) Sibu diantara Inspektor Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng dengan ASP Bill Asman Unjar di Bilik Mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Collin Babat.

Sementara itu, untuk rekod permohonan permit polis bermula pada 25 Januari lalu. Residen Bahagian Sibu Charles Siaw mengatakan bahawa permohonan permit polis untuk perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaan untuk sektor yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ketika PKP di Bahagian Sibu adalah bertujuan untuk mengurangkan pergerakan lalu lintas.

Siaw, yang merupakan Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) mengatakan bahawa mulai 27 Januari lalu, semua pekerja di dalam sektor perkhidmatan penting melibatkan pergerakan pergi dan pulang kerja memerlukan permit polis.

Perkhidmatan penting merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perniagaan kuarier dan penghantaran, perladangan dan komoditi dengan hanya kehadiran 30 peratus daripada kakitangan pengurusan yang dibenarkan bekerja, sementara jumlah pekerja ditentukan oleh pelaksanaan protokol penjarakan fizikal dan kesihatan awam di tempat kerja. PKP di Sibu telah dilanjutkan berkuat kuasa tengah malam pada 30 Januari lalu sehingga 14 Februari ini.

Suara Sarawak