ARTIKEL

ART: Xiao Bingquan (lima kiri), Pengurus Besar Hunan CRRC Zhixing Technology Co Ltd, menyampaikan model kereta api berkelajuan tinggi CRRC kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin (enam kiri), sambil menerangkan ciri teknologinya yang mampu mencapai kelajuan ujian sehingga 450 kilometer sejam.

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan teknologi berkenaan di pasaran antarabangsa.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya hari ini, berkata, pengalaman teknikal, spesifikasi dan keperluan yang dibangunkan menerusi pelaksanaan projek ART Kuching memberi rujukan berguna kepada CRRC untuk projek seumpamanya di negara lain.

“Perkembangan itu menunjukkan projek ART Kuching bukan sahaja menyumbang kepada pemodenan sistem pengangkutan awam Sarawak, malah menyediakan pengalaman teknikal yang boleh dimanfaatkan bagi pembangunan projek seumpamanya di luar negeri ini,” katanya.

Kim Shin menegaskan pengeluar perlu mengekalkan momentum pengeluaran, selain memastikan semua piawaian teknikal, kualiti dan keselamatan dipatuhi sebelum kenderaan dihantar.

Beliau berharap pembangunan keupayaan pemasangan tempatan dapat membuka peluang pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan penyertaan lebih besar industri Sarawak, selain berpotensi meletakkan Kuching sebagai hab pemasangan kenderaan ART serantau.

Baru-baru ini, beliau menerima kunjungan hormat daripada Hunan CRRC Zhixing Technology Co Ltd, yang diketuai pengurusnya Xiao Bingquan.

Xiao Bingquan memberitahu bahawa spesifikasi teknikal projek ART Kuching turut menjadi rujukan bagi cadangan penyelesaian ART CRRC untuk Sistem Transit Massa Pintar dan Hijau Kai Tak di Hong Kong.

“Teknologi ART turut digunakan dan dibangunkan di beberapa bandar di China, termasuk Zhuzhou, Yibin, Changsha, Xi’an, Harbin dan Shanghai.

“Di peringkat antarabangsa, teknologi itu turut digunakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan kenderaan diubah suai khusus untuk beroperasi dalam keadaan suhu ekstrem,” kata Xiao Bingquan.

Delegasi berkenaan turut memaklumkan bahawa kenderaan tambahan ditempah bagi projek di Abu Dhabi, selain perancangan percubaan kenderaan ART di Bosnia dan Herzegovina serta Ljubljana, Slovenia.

CRRC juga sedang meneroka peluang pasaran di Brazil dan Argentina.

Selain itu, kunjungan hormat itu turut membincangkan persiapan program pemasangan tempatan secara Completely Knocked Down (CKD) di Kuching.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Mobilus Sdn Bhd, Chan Chee Kian memaklumkan bahawa kenderaan ART Kuching melengkapkan ujian jenis yang diperlukan di sebuah fasiliti ujian automotif khusus di Chongqing, China.

Ujian itu merangkumi prestasi brek serta keperluan teknikal dan keselamatan lain, dengan semua ujian berjaya diselesaikan dan laporan berkaitan diterima minggu ini.

Program ujian berkenaan turut disaksikan wakil Sarawak Metro dan rakan projek.

Menurut Chan, pengeluaran kenderaan ART kini kembali berjalan dengan lancar, manakala kenderaan ketiga dan keempat dijangka menjalani pemeriksaan sebelum penghantaran pada Disember ini.

Pasukan projek menyasarkan keseluruhan enam kenderaan ART disiapkan menjelang akhir 2026, termasuk dua unit yang telah dihantar ke Sarawak.

Usaha turut dijalankan bagi mengatur penghantaran baki empat kenderaan sebelum penghujung tahun ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU