KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri kepada 149 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak bagi tahun 2024 dan 2025.
Mengiringi beliau dalam istiadat tersebut yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Sarawak hari ini ialah isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan anakanda, Sharifah Fariah.
Istiadat yang bermula tepat jam 11.00 pagi itu menyaksikan seramai 149 orang penerima dikurniakan pelbagai darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri.
Ia merupakan penghargaan atas jasa bakti, perkhidmatan cemerlang serta sumbangan budi para penerima dalam pelbagai bidang perkhidmatan kepada rakyat dan negeri Sarawak.

Pengurniaan dimulakan dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) yang disampaikan kepada 13 penerima termasuklah Awang Yusup Awang Mostapha, Cerisologo Sabut, Dr Nicholas Janek dan Bahrin Kawi.
Manakala Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) dikurniakan kepada 21 penerima iaitu, Allin Bandang, Azman Mahli, Sonny Ng dan Wong Lian Sin.
Bagi Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), seramai 10 individu menerima darjah berkenaan iaitu Andy Suot, Law Cheng Ching, Lian Tarawe dan Chang Shiu Chong.
Majlis istiadat seterusnya diteruskan dengan pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) yang dikurniakan kepada 24 penerima iaitu, Jadry Lai, Burai Jana, Hussein Seliman @ Ismail Suliman dan Lim Chun Chien.
Dalam pada itu, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 37 individu termasuklah, Abdul Hamid Bakar, Bernard Wan, Alimah Ason dan Rumidah Paiman.
Manakala Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) disampaikan kepada 44 penerima iaitu, Abdur Rahman Abdul Rahim, Abu Halifah En, Damat Saga, Agnes Ngarega, Tan Guek Koon.

Sehubungan itu, Tun Wan Junaidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua penerima atas dedikasi, integriti dan komitmen mereka yang telah menyumbang secara langsung dan signifikan kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sarawak.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua penerima akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat, memelihara nilai murni serta menjadi teladan dalam kalangan masyarakat.
Hadir sama semasa istiadat tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.



