MIRI: Sarawak tidak terkecuali daripada mencatatkan peningkatan prevalens diabetes dan obesiti dalam kalangan rakyatnya.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kajian terbaharu menunjukkan bahawa 15 peratus orang dewasa hidup dengan diabetes, dan ia adalah angka yang membimbangkan kerana ia lebih tinggi daripada purata kebangsaan.
Manakala, bagi prevalens obesiti di negeri ini pula, beliau berkata bahawa ia telah mencapai hampir 30 peratus.

“Angka ini membawa risiko serius kepada kesihatan awam, sistem penjagaan kesihatan dan produktiviti ekonomi.
“Antara faktor penyumbang kepada trend kedua-dua penyakit ini adalah amalan pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup sedentari, serta kurangnya kesedaran tentang langkah pencegahannya.
“Di samping itu, peningkatan angka ini juga menjadi peringatan jelas mengenai keperluan mendesak untuk bertindak dengan segera bagi mengelakkannya daripada terus meningkat,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin semasa Majlis Makan Malam sempena Persidangan Diabetes dan Obesiti Antarabangsa di sini malam tadi.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjelaskan bahawa kementeriannya telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa inisiatif utama bagi mencegah masalah tersebut daripada terus meningkat.
Menjelas lanjut, beliau berkata bahawa antaranya adalah melalui pelaksanaan Kempen Healthy Sarawak melibatkan komuniti, sekolah dan tempat kerja yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat melalui senaman berskala, pemakanan seimbang dan pemeriksaan kesihatan rutin.
“Selain itu, kami juga melaksanakan Program Penjagaan dan Kawalan Diabetes yang telah diperluaskan ke klinik luar bandar bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil mendapat akses kepada pendidikan, saringan dan rawatan, dan penyediaan unit kesihatan bergerak agar tiada sesiapa yang terpinggir.
“Kami juga aktif bekerjasama rapat dengan organisasi seperti Diabetes Malaysia dan pihak berkepentingan lain bagi meningkatkan kesedaran serta menyediakan program intervensi yang berstruktur, serta melaksanakan Pendidikan Kesihatan Berasaskan Sekolah seperti program ‘Sekolah Tanpa Gula’ yang bertujuan mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.
Di samping itu, katanya, Kerajaan Sarawak juga melabur dalam alat digital termasuk aplikasi mudah alih dan platform teleperubatan untuk memperbaiki pengurusan diabetes dan obesiti khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Mengenai persidangan yang diadakan itu, beliau berkata ia bertujuan menyediakan platform unik untuk pertukaran pengetahuan, inovasi dan kerjasama strategik dalam usaha memerangi penyakit diabetes dan obesiti dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis yang diadakan itu, Lee Kim Shin menyumbangkan peruntukan sebanyak RM8,000, manakala Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menyumbangkan RM50,000 kepada Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri bagi menyokong aktiviti tahunan mereka.


