ARTIKEL

15 tahun di Malaysia, Khier akhirnya jejak Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Bagi petarung muaythai Syria, Mohd. Khier menyifatkan kunjungan pertama ke Sarawak bukan sekadar untuk beraksi di gelanggang.

Kunjungan itu turut menjadi peluang untuk mengejar impiannya sekali gus mengenali Sarawak, satu lagi negeri terindah di Malaysia.

Berasal dari Damsyik, Khier sudah menetap di Malaysia selama 15 tahun tetapi tidak pernah menjejak kaki ke Sarawak sehingga datang untuk menyertai Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 di Naim Street Mall Paragon, Bintulu pada 16 hingga 18 Oktober lalu.

Mewakili Chai Fighter Muay Thai Club, beliau berdepan Mohamad Muazzam dari PS Muaythai Club dalam pertarungan yang berakhir dengan kekalahan 20-18.

Bagaimanapun, keputusan itu hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang membuatkan beliau bersyukur kerana berpeluang bertanding dan bertemu masyarakat di Sarawak.

“Saya berasa sangat gembira kerana saya telah memberikan yang terbaik. Pertandingan ini sangat menarik dan masyarakat di sini juga sangat baik,” katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak selepas perlawanan.

Sebelum tiba di Sarawak, Khier tidak mengetahui banyak perkara menarik tentang negeri ini selain mendengar tentang pengalaman bapa saudaranya yang pernah bekerja di sini sebagai tukang masak.

Kunjungan pertamanya memberi beliau peluang untuk merasai sendiri suasana dan layanan mesra masyarakat di negeri ini.

Beliau menyifatkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang aman dan penduduknya baik serta prihatin, selain menyatakan kegembiraan dengan sambutan yang diterima.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mencuba makanan tempatan sepanjang berada di Bintulu.

Di sebalik penghargaan beliau terhadap Sarawak, terselit perjalanan yang penuh keazaman dan keinginan untuk mengejar semula masa yang hilang dalam sukan itu.

Khier berkata, latihan yang dilakukannya sebelum ini tidak konsisten berikutan peperangan di negara kelahirannya serta tanggungjawab terhadap keluarga.

Keadaan kini membolehkan beliau menjalani latihan secara konsisten dan sudah berlatih tanpa gangguan selama tiga tahun bersama Chai Fighter Muay Thai Club.

“Saya mempunyai impian dan saya perlu merealisasikannya. Saya mahu menang dan menjadi petarung terbaik yang saya mampu.

“Saya juga mahu menjadi petarung dan jurulatih yang baik,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jurulatihnya, Anson Loke, yang banyak membantu meningkatkan kemahiran serta memberikan tunjuk ajar, selain sokongan rakan sepasukan.

“Saya berharap kelab ini dapat menjadi antara yang terbaik di dunia, dengan keyakinan bahawa usaha berterusan dan dedikasi mampu membawa pasukan itu pergi lebih jauh,” menurutnya.

Bagi Khier, impiannya bukan sekadar memenangi pertarungan atau meraih pengiktirafan, malah beliau berharap dapat kembali ke Syria suatu hari nanti selepas mengejar cita-citanya di Malaysia.

Beliau juga mahu membawa pulang pengalaman dan pengetahuan mengenai muaythai ke negara asalnya.

“Saya mahu pulang ke Syria, tetapi terlebih dahulu saya perlu merealisasikan impian saya. Selepas itu, saya akan pulang ke negara saya suatu hari kelak,” tambahnya.

Beliau turut berharap dapat mengajar masyarakat di Syria dengan berkongsi ilmu yang diperoleh di Malaysia.

“Saya mahu semua masyarakat di Syria dapat berlatih dan mempraktikkan sukan muaythai apabila saya pulang nanti,” katanya.

BERITA LAIN

Kerja naik taraf Jalan Stutong Link bermula esok

KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching bernilai RM88.99 juta dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan bagi membantu mengatasi kesesakan lalu lintas

BERITA TERBARU

Kerja naik taraf Jalan Stutong Link bermula esok

KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching bernilai RM88.99 juta dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan bagi membantu mengatasi kesesakan lalu lintas