KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching bernilai RM88.99 juta dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan bagi membantu mengatasi kesesakan lalu lintas serta melancarkan aliran trafik di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek itu dijangka meningkatkan aksesibiliti penduduk dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
“Jalan penghubung ini bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada pembinaan Lebuhraya Kuching-Samarahan Expressway.

“Kontrak bernilai RM88.99 juta itu perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
“Pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memenuhi keperluan rakyat menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Projek Naik Taraf Jalan Stutong Link dan Bulatan Kuching, di sini, hari ini.
Tambah beliau, projek pembinaan jalan sepanjang 3.311 kilometer itu bakal berdepan cabaran, khususnya dari segi penyelarasan utiliti sedia ada yang melibatkan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
Bagaimanapun, beliau yakin kerjasama antara semua syarikat utiliti, wakil rakyat dan pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu berbangkit bagi memastikan projek berjalan lancar.
Jelas beliau, kerja-kerja pembinaan akan bermula esok (20 Oktober), syarikat yang dilantik sedang dalam tender terbuka.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya berkata, projek menaik taraf itu menepati piawaian JKR U5, termasuk pelebaran jalan sedia ada daripada satu laluan dua hala kepada jalan berkembar bagi meningkatkan kapasiti dan kelancaran trafik.
Antara komponen utama projek itu ialah menaik taraf Bulatan Stutong kepada persimpangan berlampu isyarat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik, khususnya di kawasan persimpangan yang menjadi laluan utama pengguna jalan raya.
“Selain itu, projek ini turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan konkrit bertetulang baharu sepanjang 90 meter merentasi Sungai Stutong, termasuk pembinaan struktur akses ke jambatan dan tembok penahan tanah,” katanya.
Skop kerja lain melibatkan pembinaan dan penambahbaikan struktur turapan jalan, kerja-kerja tanah, pemasangan perabot jalan, pembinaan sistem perparitan, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat trafik serta kerja-kerja pengalihan utiliti yang terlibat.
Bagi memastikan pergerakan trafik berjalan dengan lancar, projek itu turut merangkumi penyediaan laluan lencongan sementara, lampu jalan sementara serta langkah-langkah pengurusan trafik bagi menjaga keselamatan dan mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
“Tempoh kontrak projek yang ditetapkan selama 24 bulan itu bermula pada 20 Oktober 2026 hingga 19 Oktober 2028,” katanya lagi.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir. Aidel Lariwoo, dan Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Chiew Chee Yau.




