ARTIKEL

AIAC Sarawak jadi hab serantau selesai pertikaian antarabangsa di Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak bakal menjadikan negeri ini hab serantau penyelesaian pertikaian antarabangsa di Borneo, khususnya melibatkan urusan komersial dan perniagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kehadiran AIAC di Kuching juga bakal memperkukuh kedudukan institusi itu yang berpusat di Kuala Lumpur, selain memperluas peranannya di peringkat antarabangsa dan rantau ASEAN.

Katanya, keyakinan pelabur terhadap sesebuah negara turut bergantung pada jaminan perlindungan undang-undang yang disediakan untuk melindungi kepentingan mereka.

Mohamad Abu Bakar (kiri) bertukar dokumen Perjanjian Penubuhan AIAC Sarawak dengan Danesh Chandran (kanan) sambil disaksikan Abang Johari (empat kiri, belakang) dan Azalina (tiga kanan, belakang). | Foto: Ghazali Bujang

“Selain akses kepada mahkamah bagi mendapatkan perlindungan undang-undang, pelabur juga perlu mempunyai keyakinan terhadap kewujudan platform yang membolehkan pertikaian antarabangsa diselesaikan dengan lebih mudah dan cepat menerusi kaedah penyelesaian pertikaian alternatif (ADR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan AIAC Sarawak di Dewan Kenyalang, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambah Azalina, Premier, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menyalurkan RM10 juta kepada AIAC untuk menaik taraf bangunan tekstil kerana ia bangunan warisan dan dilihat sebagai pilihan yang sesuai.

Menurutnya, penubuhan AIAC di Sarawak dijangka merancakkan aktiviti perundangan antarabangsa menerusi kehadiran peguam dan firma guaman antarabangsa yang boleh menggunakan premis berkenaan bagi menyelesaikan pertikaian, selain kemudahan sedia ada di Kuala Lumpur.

“Justeru, kita berharap pelaksanaannya dapat dimulakan tahun hadapan, termasuk pelantikan beberapa anggota protem. AIAC di Sarawak akan beroperasi seperti pusatnya di Kuala Lumpur dan menjadi pejabat kedua institusi itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa penubuhan AIAC di Sarawak turut mencerminkan keupayaan Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa dalam penyelesaian pertikaian, selain sektor kewangan, pelaburan dan petroleum.

Jelasnya, penamaan hab itu sebagai Hab Serantau Sarawak atau Hab Serantau Borneo terpulang kepada Premier, memandangkan kedua-duanya membawa tujuan yang sama.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Premier dan Kerajaan Sarawak kerana menerima cadangan kami. Kabinet telah meluluskan cadangan ini, sebab itulah saya berada di sini,” tegasnya.

AIAC menubuhkan pejabat cawangan sulungnya di negeri ini dengan sokongan Kerajaan Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pelaksanaan pelan hala tuju reformasi institusi berkenaan.

Perjanjian rasmi penubuhan pejabat cawangan itu dimeterai antara Kerajaan Sarawak yang diwakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dengan AIAC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Danesh Chandran di DUN Sarawak.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Abang Johari, dan Azalina bersama pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak serta wakil industri.

Terdahulu, Azalina turut mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di pejabatnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU