ARTIKEL

4,920 Kes Vandalisme dan Kecurian Aset Utiliti, Kerugian RM28.8 Juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 4,920 kes vandalisme dan kecurian aset utiliti serta telekomunikasi direkodkan dari 2024 hingga suku kedua tahun ini, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM28.8 juta.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian besar, malah mengganggu kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.

Katanya, gangguan berulang turut memberi kesan ke atas reputasi agensi terbabit, meskipun mereka sebenarnya menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Anti-Vandalisme dengan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Antaranya, memperluas kempen kesedaran dalam komuniti bagi menggalakkan orang ramai tampil melaporkan kegiatan mencurigakan, dengan program seterusnya dijadualkan berlangsung di Bahagian Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Julaihi menegaskan, penguatkuasaan turut dipertingkat menerusi Ops Lusuh yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguat kuasa serta penyedia perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi.

Dalam aspek keselamatan katanya, langkah diambil termasuk pemasangan kamera terma dan pengesan pergerakan, selain pembinaan pagar konkrit kawat berduri bagi melindungi aset daripada diceroboh.

“Penggunaan meter air bukan logam yang
tidak mempunyai nilai jualan semula turut diperkenalkan. Malah, rondaan berkala oleh agensi berkaitan dan komuniti setempat di kawasan berisiko tinggi,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU