ARTIKEL

Sarawak Sedia 32 Pusat Pengumpulan Air, 126 Lori Tangki Hadapi El Nino

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 126 lori tangki disediakan bagi menyalurkan bekalan air ke kawasan terjejas di seluruh Sarawak susulan fenomena El Nino yang dijangka mencapai tahap kuat hingga sangat kuat dan berlanjutan sehingga suku pertama 2027.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, persediaan itu merupakan antara langkah kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air kepada penduduk terus terjamin ketika berdepan musim kemarau.

Beliau berkata, fenomena berkenaan sudah menyebabkan paras air di beberapa empangan hidroelektrik menurun, manakala sebahagian muka sauk sungai mengering dan sungai berhampiran pesisir pantai mengalami kemasukan air masin.

Keadaan itu berpotensi menjejaskan operasi loji rawatan air, pengeluaran elektrik serta kehidupan penduduk, terutama masyarakat luar bandar yang bergantung kepada sumber air sungai.

“Bagi memperkukuh persediaan, kerajaan negeri turut menyediakan 32 pusat pengumpulan air, membabitkan 22 di Sri Aman, enam di Betong dan empat di Kapit,” katanya.

Julaihi berkata, empat siri operasi pembenihan awan juga sudah dilaksanakan bagi meningkatkan sumber air mentah menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dengan agensi berkaitan.

Antara agensi yang terlibat ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia serta agensi utiliti negeri.

Selain itu, ujian turut dijalankan bagi menilai kesesuaian penggunaan loji penyahgaraman bagi menangani kekurangan sumber air mentah, khususnya apabila muka sauk kering atau dicemari air masin.

“Dalam sektor tenaga, Sarawak Energy mengoptimumkan penjanaan elektrik dengan meningkatkan penggunaan tenaga terma, terutama gas, bagi mengurangkan kebergantungan kepada hidroelektrik serta memelihara simpanan air empangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU