KUCHING: Sebanyak 1,378 kes kerosakan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi akibat kerja pihak ketiga direkodkan sejak 2025 hingga kini, dengan kos pembaikan dianggarkan RM4.6 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kejadian itu membabitkan aktiviti pengorekan, pembinaan dan pembangunan projek yang boleh menjejaskan bekalan air serta perkhidmatan utiliti lain.
Beliau berkata, kerosakan berkenaan bukan sahaja menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna, malah meningkatkan kos penyelenggaraan dan beban kerja agensi terbabit.
Katanya, agensi utiliti sering menerima kecaman orang ramai apabila berlaku gangguan, meskipun kerosakan berpunca daripada kecuaian pihak ketiga.
“Lebih membebankan, agensi berkaitan turut berdepan persepsi negatif masyarakat dan terpaksa menanggung urusan pembaikan akibat perbuatan pihak lain.
“Sebagai contoh, insiden paip air pecah di Jalan Tun Jugah baru-baru ini menjejaskan lebih 100,000 isi rumah sebelum kerja pembaikan diselesaikan dalam tempoh tujuh jam,” katanya
Kejadian itu turut membabitkan paip yang baru dipindahkan, sekali gus menunjukkan kepentingan pematuhan prosedur keselamatan ketika menjalankan kerja di lapangan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemaju dan kontraktor supaya lebih bertanggungjawab serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kerosakan infrastruktur berulang.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.



