KUCHING: Pendirian Sarawak dengan penubuhan PETROS bukanlah untuk mengambil alih peranan PETRONAS, sebaliknya berkaitan dengan hak Sarawak ke atas pengagihan gas dan penggunaan sebahagian daripada sumber gas negeri ini bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) serta memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi menegaskan Sarawak terus menjadi rakan dalam kemajuan negara dengan bekerjasama secara erat bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Hasrat kita adalah untuk memastikan Sarawak dapat memperoleh nilai tambah yang lebih besar daripada sumber gasnya, menarik pelaburan baharu yang dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sarawak serta terus menyokong keperluan tenaga negara secara lebih menyeluruh,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau menambah rundingan antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS sedang berlangsung ketika ini bagi mencapai penyelesaian komersial yang dipersetujui bersama oleh semua pihak.
Menurut Julaihi, Sarawak mempunyai rizab gas asli terbesar di Malaysia, iaitu antara 43 hingga 46 Trillion Kaki Padu Standard (Tscf), merangkumi kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan rizab gas asli negara.
Justeru, katanya Kerajaan Sarawak melalui PETROS giat melaksanakan SGR yang memberi tumpuan kepada pembangunan empat hab strategik di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching.
Menjelas lanjut, beliau berkata antara projek dan inisiatif utama yang sedang dilaksanakan di bawah SGR adalah projek 500 MW Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri yang kini mencapai kemajuan fizikal 63 peratus dan dijangka beroperasi pada penghujung 2027.
Julaihi menambah, projek Peluasan Gas ke Bintulu (GtB) yang bernilai RM100 juta dilaksanakan secara berfasa dan berpotensi memberi manfaat kepada lebih 120 ribu isi rumah menjelang 2030, manakala inisiatif Gas Terus ke Dapur di Miri membekalkan gas asli berpaip kepada lebih 1,214 isi rumah dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3 ribu isi rumah apabila siap sepenuhnya kelak.
Sementara, katanya Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) seluas 15,000 ekar berpotensi menarik pelaburan melebihi RM300 bilion dan dijangka mewujudkan 180,000 peluang pekerjaan menjelang 2035 serta projek Sistem Saluran Paip Maya Sarawak (VPS) yang membolehkan penghantaran Gas Asli cecair (LNG) dari Bintulu menggunakan trak khas tanpa pembinaan saluran paip fizikal kini siap dibina di Kuching.
Di samping itu, Julaihi berkata Projek Adong Kechil West (AKW) yang mencapai pengeluaran minyak pertama pada Julai 2026, dijangka mencapai pengeluaran gas pertama pada 2027.
“Kesemua inisiatif ini akan memperkukuh infrastruktur gas Sarawak serta menyokong sasaran penggunaan gas domestik sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030,” katanya.




