ARTIKEL

Sarawak Sasar Eksport Elektrik Ke Singapura, Semenanjung Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merancang mengeksport sekurang-kurangnya 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia, selain membekalkan sehingga 1,000 MW ke Singapura dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga serantau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, perancangan itu turut merangkumi eksport sekurang-kurangnya 30 MW ke Brunei, dengan ketiga-tiga projek sambungan tenaga berkenaan berada pada peringkat perancangan berbeza.

Katanya, rundingan dan kajian kebolehlaksanaan bagi sambungan ke Brunei masih berjalan, manakala projek ke Singapura sedang melalui kajian tinjauan kabel dasar laut dan cadangan ke Semenanjung Malaysia dalam perbincangan awal.

“Ketika ini, Sarawak membekalkan purata 100 MW elektrik ke Kalimantan Barat dan 30 MW ke Sabah, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan rangkaian tenaga Borneo dan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Julaihi berkata, kelebihan sumber tenaga membolehkan Sarawak memenuhi keperluan domestik, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar, selain memanfaatkan lebihan kapasiti penjanaan untuk pasaran luar.

Usaha ini katanya, turut menyokong aspirasi Sarawak sebagai Battery of ASEAN serta membuka peluang menjana pendapatan tambahan bagi merancakkan pembangunan sosioekonomi negeri.

Dalam perkembangan tenaga solar, sebanyak 900 sistem Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) berkapasiti keseluruhan tujuh megawatt (MW) sudah beroperasi, meningkat ketara berbanding hanya 40 sistem pada 2025.

“Pemilik rumah kediaman bertanah yang belum mempunyai sistem solar fotovolta (PV) atas bumbung juga layak menerima subsidi RM8,000 hingga RM12,000, mengikut kapasiti pemasangan, menerusi peruntukan RM10 juta Sarawak Energy bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada syarat dan prinsip siapa cepat dia dapat.

“Lima sistem pemasangan PV untuk kegunaan sendiri (SELCO) berkapasiti 1.6 MWp sudah beroperasi, manakala 12 lagi berkapasiti 4.9 MWp sedang dilaksanakan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU