ARTIKEL

Sarawak teruskan diskaun bil elektrik, subsidi air tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bantuan khas dalam bentuk diskaun sebanyak 25 peratus bagi bil elektrik domestik akan diteruskan pada 2027 dengan peruntukan sebanyak RM281 juta.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, ia menjadikan jumlah diskaun yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak adalah sebanyak RM469.1
juta hingga penghujung 2027.

“Kementerian saya merakamkan penghargaan kepada Premier atas pengumuman semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 untuk meneruskan bantuan khas dalam bentuk diskaun sebanyak 25 peratus bagi bil elektrik domestik hingga 2027.

“Bantuan khas yang memberi manfaat kepada 716 ribu pengguna ini bermula pada April hingga Disember 2026 dengan peruntukan sebanyak RM188.1 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Selain itu, beliau berkata rakyat Sarawak juga akan terus menikmati subsidi bekalan air percuma bernilai RM5 sebulan pada tahun depan, dengan peruntukan
sebanyak RM35 juta yang akan memberi manfaat kepada anggaran 600 ribu pengguna domestik.

“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan masalah dan keperluan rakyat, antaranya melalui pemberian subsidi bekalan air percuma bernilai RM5 sebulan bersamaan 11,300 liter air.

“Sejak 2020 hingga Ogos 2026, inisiatif itu melibatkan subsidi sebanyak RM210.4 juta. Sekiranya diunjurkan hingga penghujung 2026, jumlah subsidi ini dianggarkan mencecah RM222.7 juta.

“Subsidi ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengurangkan beban kos sara hidup agar kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU