KUCHING: Juara Piala Cahya Mata peringkat Sarawak 2026, Red Deer Petra Jaya FC (RDPJ FC) semakin bersedia memburu hadiah utama RM100,000 pada Grand Final Piala Cahya Mata 2026 selepas membelasah Celtic United 15-3 dalam aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Darul Hana, semalam.
Aksi perlawanan persahabatan itu merupakan persiapan menjelang saingan Grand Final Piala Cahya Mata 2026 peringkat kebangsaan dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 November ini di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Negeri Sembilan.
Pengurus pasukan RDPJ FC, Izwandie Razali, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai petanda positif tahap kecergasan, disiplin serta kesediaan para pemain untuk bersaing di pentas yang lebih tinggi.
Menurut beliau, perlawanan persahabatan ini bukan semata-mata untuk memburu kemenangan, sebaliknya menjadi medan penting bagi menilai kemampuan keseluruhan pasukan sebelum menghadapi cabaran sebenar di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, kemenangan dalam perlawanan persahabatan ini memberikan gambaran positif keadaan semasa pasukan. Kita dapat melihat para pemain berada pada tahap kecergasan yang baik dan menunjukkan kesediaan untuk menghadapi saingan Grand Final Piala Cahya Mata nanti.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain. Mereka berjaya mempamerkan corak permainan yang baik, khususnya dari segi ketepatan hantaran, kerjasama berpasukan serta penyudah di hadapan pintu gol,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Izwandie turut menjelaskan bahawa pihak pengurusan merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu lagi perlawanan persahabatan sebelum pasukan berangkat ke Negeri Sembilan.
Menurutnya, aksi tersebut penting bagi memastikan segala kelemahan dapat diperbaiki selain memantapkan lagi kombinasi pemain dan pendekatan taktikal pasukan.
Beliau berkata, pihaknya sedar cabaran di peringkat Grand Final bukan mudah kerana bakal berdepan pasukan-pasukan terbaik yang muncul juara di negeri masing-masing.
Untuk rekod, RDPJ muncul juara Piala Cahya Mata peringkat Sarawak selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Gabungan Tentera Darat FC (GTD FC) 3-2, sekali gus membawa pulang hadiah RM20,000 berserta trofi.




