ARTIKEL

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn ketika ucapan penggulungan di Persidangan DUN Sarawak, hari ini | Foto: JAPEN

FTES: 6,246 Pelajar Terima Tawaran, 3,195 Layak Elaun RM15,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 6,246 pelajar menerima tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat 30 September lalu, dengan 3,195 daripada mereka layak menerima elaun tahunan RM15,000.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, skim itu terus diperluas bagi memastikan anak Sarawak yang layak dapat melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani yuran pengajian.

“Kementerian saya kekal komited untuk meneruskan pelaksanaan FTES bagi memastikan anak Sarawak yang layak mendapat akses lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa beban kewangan yuran pengajian.

“Setakat ini, seramai 3,195 pelajar yang menerima tawaran FTES daripada isi rumah berpendapatan rendah layak menerima elaun tahunan RM15,000 bagi membantu menampung kos sara hidup dan penginapan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya pengambilan pelajar bagi 64 kursus di bawah FTES meningkat kepada 3,491 tahun ini berbanding 1,528 pada 2025, iaitu pertambahan 1,963 pelajar atau 128.5 peratus.

Kursus berkenaan katanya merangkumi bidang strategik termasuk ekonomi hidrogen, pertanian tepat, pembangunan pusat data dan industri aeroangkasa.

“Daripada keseluruhan pelajar yang menerima tawaran FTES, 949 pelajar mengikuti pengajian di Universiti Curtin Malaysia, 464 pelajar di Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (2,802) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) (2,031),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sagah berkata kajian kebolehlaksanaan penubuhan Fakulti Perubatan pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak di UTS telah selesai.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan itu masih memerlukan pematuhan syarat serta kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia sebelum program perubatan dapat dimulakan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Kuching mencatat keputusan melebihi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains pada peperiksaan Cambridge Checkpoint yang diduduki buat kali pertama pada April lalu.

“Pelajar YSISS Petra Jaya turut meraih tiga Anugerah Emas dan satu Anugerah Gangsa dalam pertandingan Science Castle Asia 2026, manakala dua pasukan mendapat tajaan untuk mewakili Malaysia ke Science Castle World 2026 di Jepun pada Disember ini,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU