TANJUNG MANIS: Pengalaman berharga warga emas mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, sekali gus mengeratkan hubungan antara masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, pelibatan aktif golongan itu dapat membantu mereka menjalani kehidupan lebih bermakna, selain mengelakkan rasa terpinggir dalam masyarakat.
“Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang diwujudkan di sini, perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Ini sejajar dengan peranannya dalam menyediakan ruang kepada warga emas untuk terus bergiat aktif, bersosial dan berkongsi pengalaman hidup,” katanya
ketika merasmikan PAWE Tanjong Manis di sini, hari ini.
Yusuf turut berharap pusat berkenaan terus berkembang sebagai tempat warga emas menjalankan kegiatan berfaedah serta membina hubungan lebih erat sesama ahli.
Beliau turut menghargai usaha pihak pengurusan PAWE dalam menyatukan masyarakat dan menggalakkan pelibatan warga emas dalam aktiviti setempat.
Pada majlis itu, beliau menyumbangkan RM3,000 kepada PAWE Tanjong Manis bagi membantu pengurusan serta pelaksanaan program yang dirancang.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan peruntukan awal RM10,000 bagi menyokong operasi dan aktiviti pusat berkenaan.

