CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa perbezaan pandangan dan kebebasan bersuara di media sosial tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan buli siber, sebaliknya perlu diamalkan secara beradab dan bertanggungjawab.
MCMC dalam kenyataan hari ini menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa setiap kebebasan perlu disertai tanggungjawab, khususnya dalam penggunaan media sosial.
Menurut suruhanjaya itu, perbuatan buli siber termasuk gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi serta penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu tidak seharusnya diterima sebagai perkara biasa dalam masyarakat.
“Perbezaan pandangan tidak harus dijadikan alasan untuk melakukan sebarang bentuk buli siber,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengambil perhatian kebimbangan Seri Paduka Baginda berhubung penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah dan kebencian.
Sehubungan itu, MCMC akan terus memperkukuh usaha untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat menerusi kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa kandungan yang disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, MCMC menyeru rakyat Malaysia supaya menghayati titah Seri Paduka Baginda dengan menghormati perbezaan pandangan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta menjaga adab dan maruah orang lain ketika berinteraksi di alam maya.
MCMC menegaskan bahawa penggunaan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab penting bagi memastikan ruang digital kekal selamat serta tidak disalahgunakan untuk mengancam, menghina atau menjatuhkan maruah orang lain.


