ARTIKEL

ISUZU D-MAX 2.2L RENTAS MALAYSIA TIMUR DENGAN HANYA SATU TANGKI BAHAN API

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kuching: Selepas berjaya melengkapkan perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya satu tangki bahan api, Isuzu D-MAX 2.2L TD serba baharu menggalas pula cabaran terkini dengan berjaya melengkapkan perjalanan dari Sandakan, Sabah menuju Kuching, Sarawak tanpa isian semula bahan api.

Melalui cabaran “D-MAX One Tank. One Nation”, Isuzu Malaysia menguji dua unit Isuzu D-MAX turbo diesel 2.2-liter baharu bagi membuktikan keupayaan serta keunggulannya dalam penjimatan bahan api dalam perjalanan merentasi Sabah dan Sarawak dengan hanya satu tangki diesel.

Perjalanan di Malaysia Timur ini sangat mencabar, kerana melibatkan permukaan bumi yang pelbagai yang memerlukan kemampuan lasak, serta turut melibatkan perbezaan ketinggian yang ekstrem, termasuk pendakian sukar merentasi Banjaran Crocker, di mana kebanyakan kenderaan lazimnya sukar untuk mencatatkan kadar penggunaan bahan api yang baik.

Dengan enjin baharu yang dipertingkatkan dan adanya pertambahan kuasa, tork, kelancaran, ketahanan, kebolehpercayaan serta kecekapan bahan api yang lebih baik, Isuzu D-MAX 2.2-liter baharu terbukti sangat berkemampuan dalam keadaan sedemikian.

Kedua-dua varian yang digunakan, iaitu 4×2 AutoPlus dan 4×4 Automatic Premium, berjaya sampai ke garisan penamat dengan baki bahan api yang masih banyak.

Apa yang lebih mengagumkan, varian 4×2 Auto Plus yang sangat cekap telah berjaya mengharungi keseluruhan perjalanan dari bilik pameran Universal Motor Isuzu di Sandakan ke Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu di Kuching tanpa lampu amaran paras bahan api rendah menyala.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, cabaran “D-MAX One Tank. One Nation” merupakan platform ideal untuk mempamerkan keupayaan sebenar Isuzu D-MAX baharu dalam keadaan pemanduan sebenar di seluruh pelosok Malaysia.

“Memang mudah untuk mendakwa sesebuah kenderaan itu jimat bahan api dengan memandunya di lebuh raya yang rata dan tenang. Namun bagi kami, keunggulan Isuzu D-MAX paling terserlah apabila diuji dalam keadaan sebenar — di jalan dan laluan yang digunakan oleh pelanggan kami setiap hari.

Ini bermakna, meredah jalan raya utama yang sempit dan sesak dengan lori, memasuki jalan yang sedang dalam pembinaan, malah merentasi Banjaran Crocker di Gunung Kinabalu — gunung tertinggi di Malaysia — dengan yakin, dan bukannya mengelak laluan seperti itu,” kata Kudo.

Segmen Malaysia Timur bagi cabaran “D-MAX One Tank. One Nation” bermula dari bilik pameran Isuzu di Sandakan, kawasan pantai timur Sabah.

Para pemandu kemudian bergerak ke Telupid, lokasi di mana pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sedang giat dijalankan. Seterusnya, mereka menempuh laluan berbukit menuju ke Kundasang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.

Dari situ, konvoi tersebut meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui Brunei sebelum singgah di Miri, Bintulu, Sarikei dan Sibu.

Sepanjang laluan tersebut, terdapat perhentian yang dijadualkan di pusat pengedar Isuzu, sebelum menyelesaikan perjalanan di Kuching setelah menempuh jarak  keseluruhan sejauh 1,605km.

Di beberapa lokasi terpilih sepanjang laluan, turut diadakan sesi interaksi bersama duta jenama Isuzu D-MAX, Baki Zainal, yang bertemu para peminat dan mengagihkan cenderahati eksklusif Isuzu sementara menantikan ketibaan konvoi.

Bagi menambah keterujaan, orang ramai turut dipelawa untuk meneka jarak perbatuan sebenar yang dilalui oleh D-MAX sepanjang cabaran itu secara dalam talian.

Pemenang berpeluang memenangi baucar barangan runcit bernilai RM5,000, yang merupakan sebahagian daripada jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.00 yang ditawarkan.

Rahsia kemampuan Isuzu D-MAX terletak pada enjin TD 2.2 liter serba baharu yang digelar sebagai Enjin Terbaik Pernah Dihasilkan (“Best Engine Ever”).

Keupayaannya yang luar biasa bukan sahaja memberikan kuasa mengagumkan untuk pecutan yang selamat dan bertenaga, malahan tork tinggi yang tersedia pada putaran enjin rendah membolehkan trak ini mendaki bukit curam menggunakan gear yang lebih tinggi — sekali gus menjimatkan bahan api dan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih bersahaja.

Digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang baharu, Isuzu D-MAX baharu ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan kepada para pemiliknya.

“Selain penjimatan ketara yang dinikmati pelanggan hasil daripada kecekapan bahan api kenderaan ini yang luar biasa, Isuzu D-MAX 2.2L baharu turut menawarkan kos operasi yang lebih rendah — disumbangkan oleh ketahanan yang lebih tinggi, produktiviti yang lebih baik, serta cukai jalan yang lebih murah.

Ini sekali gus menjadikannya pilihan trak pikap yang sangat penting dan cekap dalam iklim ekonomi ketika ini,” tambah Kudo.

BERITA LAIN

Potensi AI dalam penulisan

SAYA telah menulis untuk lebih daripada 40 tahun. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan sejak dalam tingkatan enam di Kolej Tanjong Lobang, Miri. Bermula dengan

BERITA TERBARU

Aaron-Wooi Yik Naib Juara Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan gelaran berganda buat Malaysia di Terbuka Denmark tidak kesampaian apabila tunduk kepada gandingan