KUCHING: Sebanyak 86 projek menaik taraf sekolah daif di Sarawak di bawah peruntukan pendahuluan RM1 bilion telah siap, manakala 54 lagi masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, di bawah Projek Rakyat pula, separuh daripada 12 projek yang dikenal pasti telah siap dan selebihnya masih dalam pelaksanaan atau prapembinaan.
Katanya, terdapat 680 sekolah di Sarawak kini turut diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk diduduki, iaitu pada skala 6 dan 7.
“Perkara berkenaan juga menunjukkan terdapat keperluan pelaburan besar bagi kerja-kerja menaik taraf dan menambah baik infrastruktur sekolah di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan MEITD pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak, seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan MADANI Kelima 2027 baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, inisiatif No Kid Left Behind (NKLB) yang kini memasuki tahun ketiga juga terus menyokong pelajar di kawasan Baram dengan memberi penekanan dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Inisiatif NKLB disenarai pendek sebagai finalis bagi anugerah berprestij QS Reimagine Education Awards 2026 dalam kategori Akses, Kepelbagaian dan Keterangkuman (Access, Diversity and Inclusion).
“Keputusan akhir akan diumumkan di London pada 6 hingga 8 Disember depan,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai cadangan penubuhan Majlis Pendidikan Sarawak seperti yang diumumkan Premier dalam ucapan Belanjawan 2027, Sagah memberitahu kementeriannya akan mengambil langkah sewajarnya dalam menyediakan terma rujukan terperinci dan dokumentasi berkaitan bagi memudahkan penubuhan majlis berkenaan.



