KUCHING: Seorang lepasan graduan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menumbuk seorang lelaki berusia 30 tahun, gara-gara lambat mengalihkan kereta yang menghalang laluannya.
Tertuduh, 23, yang tidak bekerja itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk mangsa.
Dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta premium di sebuah hotel mewah terkemuka di Jalan Bukit Mata, sekitar 1.30 pagi, 4 Oktober lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, berlaku perselisihan faham di tempat letak kereta premium hotel tersebut kerana pengadu lambat mengalihkan keretanya yang menghalang kereta tertuduh.
Pada awalnya, tertuduh yang dalam keadaan mabuk berbalah dan cuba membuka pintu kereta pengadu untuk mengalihkan kereta tersebut.
Kemudian, tertuduh menarik tangan pengadu tetapi pengadu menolak balik. Tertuduh yang berang lalu menumbuk pengadu.
Berlaku pergelutan di antara mereka hingga dileraikan oleh pengawal keselamatan dan abang tertuduh.
Akibat kejadian terbabit, pengadu mengalami kecederaan di bahagian muka, dan leher.
Laporan dilakukan ke atas tertuduh seterusnya membawa kepada penangkapannya pada hari yang sama, sekitar 3.33 pagi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh diwakili seorang peguam.


