KUCHING: Sebanyak RM120 juta diluluskan bagi pelaksanaan program Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) Fasa 5 di Sarawak, yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 isi rumah menerusi peluasan akses bekalan elektrik.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, lebih 17,000 permohonan diterima setakat ini, dengan baki lebih 12,000 isi rumah akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan Fasa 6 dan seterusnya.
Katanya, pelaksanaan ALAF Fasa 1 hingga 4 membabitkan peruntukan RM315 juta untuk 21,073 isi rumah, dengan 20,627 daripadanya atau 97.9 peratus sudah menerima manfaat.
“Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri memperuntukkan RM88.6 juta bagi menggantikan bateri serta komponen utama di 223 stesen Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES).
“Sebanyak 85 stesen siap, manakala 29 lagi sedang dilaksanakan dan selebihnya dalam perancangan. Keseluruhan kerja dijangka selesai menjelang suku keempat 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Julaihi berkata, bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, talian Pengalir Bertebat Separa Voltan Sederhana
(MVCC) sepanjang 301 kilometer bernilai RM189 juta sudah siap di Mukah, Sibu, Sarikei, Kapit, Bintulu dan Miri.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan turut meluluskan RM150 juta untuk menaik taraf kemudahan elektrik di Samarahan dan RM198 juta bagi Bahagian Betong.
“Projek pengukuhan rangkaian elektrik Kuching dan Samarahan menerusi Kuching Network Reinforcement (KNR) bernilai kira-kira RM3 bilion sedang dilaksanakan. Fasa pertama yang menghubungkan Entingan dengan Tanjong Bako mencapai kemajuan keseluruhan 32.2 peratus dan dijangka siap pada suku kedua 2028.
“Dari segi sistem penghantaran, sambungan grid ke Lawas dan Limbang masing-masing beroperasi pada Disember 2025 dan Julai 2026. Sarawak Energy turut membelanjakan RM10.2 bilion dari 2020 hingga 2025 bagi membina pencawang, talian penghantaran dan pengagihan serta meningkatkan kapasiti sistem bekalan elektrik negeri,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam usaha memperluas tenaga boleh baharu, Sarawak Energy memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan sembilan pengeluar tenaga bebas bagi projek solar berkapasiti keseluruhan 1,450 megawatt.
“Kajian pembangunan hidro simpanan pam juga sedang dijalankan di Bakun, Murum dan Padawan,” ujarnya.



