KUCHING: Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik meningkat kepada 15,000 megawatt (MW) menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan tenaga negeri yang terus berkembang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, sasaran itu disokong pelaksanaan pelbagai projek penjanaan baharu, peluasan sistem grid dan pembangunan bekalan elektrik alternatif bagi kawasan pedalaman.
Katanya, kapasiti penjanaan semasa negeri berjumlah 5,928MW, berbanding permintaan sekitar 4,800MW, manakala sasaran bagi 2030 ialah 10,000MW.
“Antara projek utama ialah Hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285MW yang dijangka beroperasi pada suku keempat 2029, selain loji janakuasa gas di Samalaju dan Miri.
“Projek Samalaju berkapasiti 1,500MW dijadual dilaksanakan secara berperingkat mulai 2027, manakala loji janakuasa gas Miri berkapasiti 500MW dijangka beroperasi pada suku keempat tahun sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Selain itu katanya,Sarawak turut merancang pembangunan projek solar berskala besar dengan potensi kapasiti keseluruhan 1,500MW bagi memperkukuh campuran sumber tenaga negeri.
Julaihi berkata, dalam usaha memperluas akses elektrik, kerajaan negeri meneruskan sambungan grid serta pelaksanaan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) bagi membekalkan elektrik kepada kawasan yang belum menikmati kemudahan berkenaan.
“Sejak 2018, sebanyak RM2.7 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan pembiayaan alternatif bagi melaksanakan 218 projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
“Daripada jumlah itu, 192 projek atau 88.1 peratus sudah siap, memanfaatkan hampir 60,000 isi rumah, manakala 26 lagi masih dilaksanakan,” katanya.


