ARTIKEL

Julaihi Narawi ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Sarawak Mahu Kuasa Buat Keputusan Laksana Projek Air Luar Bandar Melebihi RM50 Juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mahu kuasa membuat keputusan bagi semua projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), termasuk yang bernilai melebihi RM50 juta, diputuskan sepenuhnya di peringkat negeri bagi mempercepat pelaksanaannya tanpa perlu merujuk Kerajaan Persekutuan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, ketika ini, keputusan berkaitan perolehan dan pengurusan kontrak projek BALB bernilai sehingga RM50 juta boleh dibuat di peringkat Sarawak.

Bagaimanapun, bagi projek melebihi nilai itu, pengurusan kontrak masih perlu dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peluasan kuasa berkenaan supaya semua keputusan berkaitan projek BALB dapat dibuat di peringkat negeri.

“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan agar tatacara perolehan dan pengurusan kontrak yang sama diguna pakai untuk perolehan projek yang bernilai melebihi RM50 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak.

Pada 17 Mac 2026, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan pelaksanaan semua projek BALB yang dibiayainya di Sarawak kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan saluran paip air lama serta uzur sepanjang 2,740 kilometer dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Program itu bertujuan menambah baik rangkaian saluran paip dan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Setakat ini, sebanyak 44 projek telah siap, manakala 38 projek lagi berada pada pelbagai peringkat pembinaan dan 140 projek masih dalam peringkat prakontrak.

“Kementerian menyasarkan semua baki projek memulakan pembinaan pada suku kedua 2027,” ujarnya.

Dalam masa yang sama kata Julaihi, kementeriannya turut meneliti potensi untuk mengoptimumkan sumber air sedia ada melalui pembangunan takungan air dan pelaksanaan pemindahan air mentah di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti selaras dengan Sarawak Integrated Water Resources Management 2009 (SIWRM).

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah serta memperkukuh daya tahan sistem bekalan air Sarawak dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan keperluan air pada masa hadapan,” jelasnya.

BERITA LAIN

Sarawak sasar jana elektrik 15,000MW menjelang 2035

KUCHING: Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik meningkat kepada 15,000 megawatt (MW) menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan

BERITA TERBARU

Sarawak sasar jana elektrik 15,000MW menjelang 2035

KUCHING: Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik meningkat kepada 15,000 megawatt (MW) menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan