KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan penurunan kuasa pengurusan bagi jalur-jalur spektrum tertentu kepada Sarawak melalui mekanisme yang bersesuaian.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, sebagai sebahagian daripada wilayah dalam Malaysia, Sarawak berupaya memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memperkukuh usaha pengurusan spektrum negara secara lebih efektif dan responsif dengan keperluan setempat.
Menurutnya pada masa ini, pengurusan spektrum frekuensi terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan, dengan Kerajaan Sarawak berpandangan bahawa pelibatan yang lebih besar dalam pengurusan spektrum amat penting bagi memastikan pembangunan telekomunikasi dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan keutamaan Sarawak.
“Ini termasuk hak pengurusan jalur-jalur spektrum tertentu yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Hak pengurusan ini akan memberi ruang kepada Kerajaan Sarawak untuk merancang penggunaan spektrum secara lebih strategik, mempercepat peluasan liputan ke kawasan luar bandar serta menyokong pembangunan teknologi komunikasi baharu,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut, Julaihi berkata sebagai contoh, pelaksanaan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dan memastikan masyarakat luar bandar Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi digital.
Bagaimanapun, katanya peningkatan penggunaan Internet dan permintaan yang semakin tinggi menyebabkan keperluan mendesak spektrum tambahan bagi mengatasi kesesakan rangkaian serta memastikan kapasiti sedia ada dapat memenuhi keperluan pengguna yang terus berkembang.
Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya sedang giat mengusahakan peruntukan spektrum tambahan bagi memperkukuh kapasiti, kestabilan dan kualiti rangkaian MySRBN serta memastikan akses Internet yang mampu milik dan boleh dipercayai kepada lebih ramai penduduk luar bandar.


