PHNOM PENH: Pengendali pengangkutan tradisional di Kemboja, termasuk penunggang motodop dan pemandu remorque, semakin kehilangan pelanggan kepada aplikasi e-hailing sehingga mata pencarian mereka terjejas.
Selama beberapa dekad, motodop dan remorque menjadi ikon pengangkutan yang membawa penumpang ke pasar, pejabat, sekolah dan kediaman di ibu negara.
Kemunculan tuk-tuk elektrik serta platform e-hailing yang disokong syarikat bermodal besar kini mengubah sistem pengangkutan bandar di negara itu.
Presiden Independent Democracy of Informal Economy Association, Vorn Pov, memberitahu Bernama bahawa ramai pemandu berusia tidak mahir menggunakan aplikasi lalu beralih kepada pekerjaan am yang lain.
Penunggang teksi motosikal, Chea Vorsak, 30, berkata pendapatannya merosot kerana pelanggan lebih memilih aplikasi yang menawarkan tambang lebih murah, manakala kira-kira 20,000 pemandu tuk-tuk di Phnom Penh kebanyakannya bernaung di bawah pengendali e-hailing seperti dilapor Bernama.




