RASUWA: Setiap pagi di sebuah sekolah di Nepal yang dilanda banjir teruk, para guru yang mengambil kedatangan pelajar berdepan dengan peringatan yang menyayat hati mengenai bencana itu apabila mereka menandakan dengan dakwat merah nama murid-murid yang tidak lagi kembali ke sekolah.
Banjir dahsyat itu, yang berpunca daripada runtuhan glasier berhampiran sempadan China-Nepal, telah mengorbankan lebih 1,400 nyawa dengan sebahagian besarnya di Nepal.
Lebih 5,000 orang masih hilang di negara Himalaya itu, sebulan selepas ombak besar seakan-akan tsunami memusnahkan jalan raya, jambatan dan kawasan penempatan di kawasan pergunungan di bahagian utara.
Di Sekolah Menengah Neelakantha yang terletak di Daerah Rasuwa, kawasan yang terjejas teruk, seorang guru melukis bulatan merah di sebelah nama murid-murid yang dilaporkan hilang sejak kejadian banjir pada 26 Ogos lalu.
Berbeza dengan lebih sedozen sekolah lain yang musnah akibat banjir tersebut. Sekolah Neelakantha yang terletak di kawasan tanah yang agak tinggi, tidak mengalami kerosakan yang ketara.
Namun, sekolah itu kehilangan 70 orang murid dan empat guru.
“Jika anda melihat keadaan di Rasuwa, anda tidak akan menemui satu keluarga pun yang tidak kehilangan ahli keluarga.
“Kesemua murid dan guru sedang menanggung kesedihan yang sama,” kata Pengetua Madhav Lamichhane kepada AFP.
Kebanyakan murid Neelakantha yang hilang itu sedang dalam perjalanan ke sekolah dari kawasan penempatan di tebing sungai apabila arus banjir melanda lembah tersebut dengan dahsyat.
“Kami sentiasa mengenang murid-murid kami pada setiap hembusan nafas.
“Mereka terkorban dalam bencana ini pada usia yang begitu muda. Ini satu kehilangan yang amat besar,” kata Rama Paudel, guru berusia 36 tahun.
Menurut data kerajaan, di seluruh Rasuwa dan daerah-daerah berhampiran, kira-kira 500 murid dan 24 guru masih hilang, manakala 18 sekolah mengalami kerosakan dengan kos pemulihan dianggarkan mencecah AS$15.47 juta.
“Ini merupakan situasi paling buruk yang pernah dialami oleh sektor pendidikan,” kata jurucakap Kementerian Pendidikan, Shree Prasad Bhattarai kepada AFP.
Berasa kembali normal
Penilaian awal oleh UNICEF menunjukkan bahawa pembelajaran lebih daripada 14,000 kanak-kanak di 62 sekolah dan pusat pembelajaran di seluruh kawasan yang terjejas akibat banjir telah terganggu.
“Pendidikan merupakan bahagian penting dalam proses pemulihan kanak-kanak selepas bencana.
“Kembali mengikuti pembelajaran memberikan kanak-kanak rasa kestabilan, rutin dan harapan pada saat ramai antara mereka telah mengalami kehilangan besar serta ketidakpastian” kata wakil UNICEF, Alice Akunga.
Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan keluarga, menghantar anak-anak kembali ke sekolah masih belum dapat dilakukan.
Kurang daripada separuh daripada 508 orang murid Sekolah Menengah Neelakantha kembali mengikuti kelas sejak sesi pembelajaran disambung semula tiga minggu lalu.
Pengetua Lamichhane menyatakan bahawa kira-kira 150 murid masih tidak dapat sampai ke sekolah kerana jambatan dan jalan raya dihanyutkan.
Beberapa bilik darjah telah ditukar fungsi menjadi pusat pengagihan bantuan, satu keadaan yang menggambarkan betapa sukarnya untuk memiliki keadaan seperti sedia kala.
Para guru berpendapat bahawa kesan trauma psikologi mungkin lebih sukar untuk diatasi berbanding kerosakan infrastruktur.
“Ramai murid kami telah kehilangan ibu bapa atau menyaksikan sendiri rakan-rakan mereka dihanyutkan.
“Sudah sebulan berlalu, namun mereka masih sukar untuk memulihkan perhatian,” kata guru, Shiva Ram Bhatta.
Beliau berkata, bekalan bantuan kini sampai kepada ramai mangsa yang terselamat, namun rasa pemulihan seterusnya akan memerlukan lebih daripada sekadar makanan dan tempat perlindungan.
“Kami mempunyai bekalan bantuan yang mencukupi.
“Kini, kami memerlukan terapi psikososial serta penyelesaian jangka panjang supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya.
– AFP



